Sabah raih penarafan AAA, prospek stabil berasaskan kekayaan sumber asli | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sabah raih penarafan AAA, prospek stabil berasaskan kekayaan sumber asli

Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 20 Ogos - MARC Ratings telah memberikan Sabah penarafan kredit sub-sovereign AAA dengan prospek stabil di bawah skala penarafan sub-sovereignnya.

 

Agensi itu berkata keputusan tersebut disokong oleh kedudukan fiskal Sabah yang kukuh, dipacu oleh pendapatan sumber asli yang signifikan, rizab fiskal yang mantap serta rangka kerja institusi yang kukuh.

 

“Prospek stabil mencerminkan jangkaan MARC Ratings bahawa Sabah akan mengekalkan kedudukan fiskal yang sihat, disokong oleh penampan kecairan yang kukuh, penjanaan hasil berterusan daripada kekayaan sumber asli dan sokongan berterusan kerajaan persekutuan terhadap agenda pembangunan negeri.

 

“Namun begitu, profil kredit Sabah kekal terdedah kepada volatiliti ekonomi global, yang boleh memberi kesan kepada harga komoditi dan menjejaskan momentum ekonomi negeri secara sementara,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Agensi penarafan itu menyatakan, Sabah merupakan antara negeri paling kaya dengan sumber asli di Malaysia, dengan sektor pertanian dan perlombongan menyumbang 36.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada 2024, iaitu peratusan tertinggi di seluruh negara.

 

MARC Ratings berkata, Sabah adalah pengeluar minyak sawit mentah terbesar negara, menyumbang 22.1 peratus daripada pengeluaran nasional pada 2024, serta merupakan pemain utama dalam pengeluaran minyak dan gas (O&G).

 

“Walaupun produk berkaitan minyak sawit merupakan eksport dominan negeri, Sabah sedang giat melaksanakan pembangunan hiliran O&G untuk mengembangkan asas pembuatan yang ketika ini masih sederhana,” katanya.

 

MARC Ratings berkata ekonomi Sabah sangat dipengaruhi oleh sektor O&G dan minyak sawit, justeru turun naik harga komoditi memberi kesan kepada hasil fiskalnya.

 

Dengan harga tenaga dijangka menurun pada 2025, hasil negeri berkemungkinan tertekan.

 

Namun, Sabah masih dijangka mengekalkan imbangan fiskal yang sihat dalam jangka sederhana, hasil daripada usaha memperluas asas cukai dan mempelbagaikan ekonomi, tambahnya. - DagangNews.com