KUALA LUMPUR 29 Okt - Bank Negara Malaysia (BNM) menegaskan sebarang rundingan dan persetujuan yang dicapai bersama Perbendaharaan Amerika Syarikat (US Treasury) mencerminkan amalan sedia ada dan tidak dalam sebarang keadaan akan menjejaskan keupayaan bank pusat itu untuk merumus dasar monetari secara bebas atau melindungi kestabilan serta nilai ringgit.
Bank pusat itu berkata, komitmen seumpama ini juga telah dibuat oleh beberapa rakan dagang utama AS yang lain, termasuk Thailand, Jepun, Korea Selatan dan Switzerland.
Menurut BNM, sudah menjadi amalan sedia ada bagi bank pusat untuk berkongsi data intervensi pertukaran asing (forex) secara dua hala dengan Perbendaharaan AS dua kali setahun, dengan kebenaran diberikan kepada pihak berkenaan untuk memetik data tersebut dalam Laporan Pertukaran Asing (FX Reports) yang diterbitkan setiap bulan Jun dan November.
“Kerjasama dua hala ini amat penting bagi memastikan Malaysia tidak dikelompokkan bersama negara-negara yang dilihat mempunyai dasar pertukaran asing yang tidak telus,” kata BNM dalam respons kepada pertanyaan Bernama.
BNM menegaskan, pendedahan data tersebut tidak mengandungi maklumat sensitif dan tidak menghalang keupayaannya untuk melaksanakan intervensi pertukaran asing bagi menguruskan turun naik kadar pertukaran yang berlebihan serta mengekalkan kestabilan ringgit.
Tambah bank pusat itu lagi, kemampuan untuk melaksanakan intervensi FX sebagai alat dasar bagi mengawal turun naik kadar pertukaran adalah selaras dengan komitmen yang dibuat bersama AS.
“Perkara ini diiktiraf secara jelas dalam perjanjian dengan Perbendaharaan AS,” katanya.
“Dasar monetari BNM dirumus dan dilaksanakan secara bebas mengikut mandat yang diperuntukkan di bawah Akta Bank Negara Malaysia 2009.”
BNM menjelaskan matlamat dasar monetari ialah untuk mengekalkan kestabilan harga yang kondusif kepada pertumbuhan ekonomi. Alat utama dalam dasar monetari ialah Kadar Dasar Semalaman (Overnight Policy Rate – OPR).
“Kadar pertukaran ringgit bukanlah objektif dasar monetari. BNM juga sejak sekian lama menolak penggunaan ringgit bagi meningkatkan daya saing perdagangan,” katanya.
“Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) hanya mengambil kira perkembangan kadar pertukaran setakat mana ia mempengaruhi unjuran inflasi dan pertumbuhan domestik,” tambah kenyataan itu.
Semalam, BNM dan Perbendaharaan AS bersetuju untuk meneruskan rundingan rapat berhubung isu makroekonomi dan pertukaran asing (FX) serta mengulangi komitmen mereka di bawah Artikel Perjanjian Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) untuk mengelak manipulasi kadar pertukaran atau sistem kewangan antarabangsa bagi mendapatkan kelebihan daya saing tidak adil atau menghalang pelarasan imbangan pembayaran yang berkesan. — BERNAMA








