ROS arah MTUC dibubar sementara gagal kemuka dokumen kewangan, diberi tempoh 30 hari rayuan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

ROS arah MTUC dibubar sementara gagal kemuka dokumen kewangan, diberi tempoh 30 hari rayuan

PUTRAJAYA 8 Mei - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dikenakan perintah pembubaran sementara daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) berkuat kuasa Khamis susulan kegagalan mengemukakan beberapa dokumen dan maklumat kewangan yang diminta.

 

Menurut notis bertarikh 7 Mei 2026 yang dikeluarkan di bawah Seksyen 14(5) Akta Pertubuhan 1966, MTUC diarahkan dibubarkan sementara selepas didapati tidak menyerahkan maklumat tertentu yang diminta oleh Pendaftar Pertubuhan.

 

Menurut perintah rasmi itu, ROS mendapati MTUC tidak mematuhi arahan bertulis bertarikh 6 April lalu, antaranya gagal mengemukakan salinan penyata penerimaan dan pembayaran serta kunci kira-kira yang telah diaudit bagi tempoh 2020 hingga 2025.

 

Selain itu, MTUC juga gagal menyerahkan senarai berkaitan kewangan, wang, harta atau faedah yang diterima daripada pihak luar negara bagi tempoh sama.

 

Notis berkenaan turut memaklumkan bahawa MTUC mempunyai tempoh 30 hari untuk mengemukakan rayuan kepada Menteri Dalam Negeri mengikut Seksyen 18 Akta Pertubuhan 1966.

 

Dokumen itu ditandatangani oleh ROS Selangor, Nurul Azhar Husin dan dihantar kepada Setiausaha MTUC, manakala salinan turut diserahkan kepada Presidennya, Datuk Abdul Halim Mansor serta Bendahari, Bindu Girdharlal Patel.

 

Boleh jadi pertubuhan menyalahi undang-undang

ROS turut memaklumkan, sekiranya tiada rayuan dikemukakan dalam tempoh 30 hari atau rayuan ditolak, pembubaran sementara itu akan menjadi muktamad dan MTUC dianggap sebagai pertubuhan yang menyalahi undang-undang.

 

Menurut notis itu, di bawah Seksyen 42 Akta Pertubuhan 1966, mana-mana pemegang jawatan atau individu yang mengurus atau membantu pengurusan pertubuhan yang menyalahi undang-undang boleh dikenakan hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM15,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

 

Bagaimanapun, MTUC masih boleh mengemukakan rayuan kepada Menteri Dalam Negeri dalam tempoh 30 hari dari tarikh perintah dikeluarkan.

 

MTUC ialah kesatuan kebangsaan tertua yang mewakili pekerja di Malaysia. Ia ditubuhkan pada 1949 dan didaftarkan di bawah Akta Kemasyarakatan 1955.

 

Sementara itu, ROS dalam kenyataan memaklumkan bahawa tindakan mengeluarkan Perintah Pembubaran Sementara terhadap MTUC dibuat mengikut peruntukan Seksyen 14(5) Akta Pertubuhan 1966 susulan ketidakpatuhan berterusan pertubuhan itu terhadap arahan bertulis jabatan berkenaan.

 

“ROS menegaskan bahawa setiap tindakan pengawalseliaan terhadap pertubuhan berdaftar dilaksanakan secara profesional, telus dan berlandaskan undang-undang yang berkuat kuasa.

 

ROS dakwa tindakan ikut undang-undang

“Jabatan ini tidak dipengaruhi oleh sebarang kepentingan mana-mana pihak dan setiap keputusan dibuat berdasarkan penelitian dokumen, fakta serta pematuhan kepada prosedur yang ditetapkan,” menurut kenyataan itu.

 

ROS turut menegaskan komitmennya untuk melaksanakan tanggungjawab pengawalseliaan secara tegas, adil dan berintegriti bagi memastikan setiap pertubuhan berdaftar beroperasi secara teratur, telus serta mematuhi kehendak perundangan negara. - BERNAMA