​​​​​​​RMK13: Peruntukan berdasarkan keperluan, bukan kaum, kata Anwar di Dewan Negara | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

​​​​​​​RMK13: Peruntukan berdasarkan keperluan, bukan kaum, kata Anwar di Dewan Negara

Gambar BERNAMA

KUALA LUMPUR 25 Ogos – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan peruntukan yang diterima oleh mana-mana kumpulan masyarakat tidak seharusnya dijadikan polemik, kerana semua inisiatif pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dilaksanakan secara adil dan saksama.

 

Membentangkan usul RMK13 di Dewan Negara, Anwar berkata kerajaan kekal komited untuk memastikan semua kumpulan, termasuk Melayu, Cina, India, Bumiputera Sabah dan Sarawak, Orang Asli, wanita, orang kurang upaya (OKU) dan belia, menerima manfaat mengikut keperluan mereka.

 

“Saya sangat tidak senang dengan polemik seperti ini kerana ia menimbulkan gambaran bahawa orang Melayu selesa... perkara yang sama juga berlaku kepada masyarakat India atau Cina.

 

“Jadi jangan dipertikaikan jika satu-satu kaum kelihatan mendapat manfaat lebih banyak. Peruntukan adalah berdasarkan keperluan, bukan kaum.

 

"Jika mahu memohon kemudahan untuk masyarakat India, silakan. Melayu adalah majoriti di negara ini, dan majoriti miskin juga adalah Melayu. Sebab itu kita mesti fokus mengikut keadaan,” katanya.

 

Sebagai contoh, beliau merujuk kepada peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (Sara) yang diagihkan secara inklusif, dengan hampir 57% penerima adalah Melayu, manakala 7.57% merupakan Bumiputera Sabah dan 6.23% Bumiputera Sarawak.

 

Pada masa sama, katanya masyarakat India turut menerima bantuan melalui pelbagai saluran, termasuk STR dan Sara berjumlah RM972 juta, serta RM2.5 bilion dalam bentuk perumahan.

 

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, turut menggariskan sembilan inisiatif utama di bawah RMK13, termasuk pemerkasaan sosial berasaskan konsep Madani, menangani kos sara hidup, agihan ekonomi yang adil, pemulihan pendidikan, serta penyediaan rumah mampu milik untuk rakyat.

 

Inisiatif lain merangkumi pembangunan wilayah dan luar bandar, memperkukuh daya saing industri pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi, penerapan teknologi kecerdasan buatan (AI), serta memastikan perkhidmatan kerajaan telus, tangkas dan cekap.

 

Pelaksanaan RMK13 dipantau

Anwar turut menekankan pelaksanaan RMK13 akan dipantau secara berterusan bagi memastikan setiap projek dan inisiatif memberi impak nyata kepada rakyat.

 

Beliau menegaskan RMK13 tidak boleh kekal sekadar dokumen perancangan, sebaliknya mesti menjadi pelan tindakan yang dilaksanakan secara berkesan dan telus.

 

Anwar berkata perkara itu terbukti apabila 1,177 sekolah daif berjaya dinaik taraf setakat Jun lalu, pencapaian tertinggi dalam tempoh singkat, selain peningkatan ketara dalam pembinaan sekolah baharu yang meningkat kepada 102 dalam tempoh dua hingga tiga tahun kebelakangan ini berbanding purata hanya 20 hingga 40 sekolah sebelum ini.

 

Menurutnya, RMK13 merupakan kesinambungan daripada RMK12 dan kerangka Ekonomi Madani, yang bertujuan mengubah struktur ekonomi negara ke arah penciptaan nilai yang holistik, dengan memberi penekanan kuat kepada usaha menangani kos sara hidup rakyat.

 

Komitmen ini, jelasnya, diterjemahkan melalui langkah kerajaan menaikkan gaji minimum daripada RM1,200 kepada RM1,500 dan kini RM1,700, di samping memperkenalkan gaji progresif bagi pekerja sektor swasta serta Skim Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

 

Langkah-langkah ini, katanya, melibatkan perbelanjaan tambahan sebanyak RM10 bilion tahun ini dan RM18 bilion pada tahun hadapan.

 

“Buat pertama kali dalam sejarah, syarikat berkaitan kerajaan telah menetapkan gaji minimum sebanyak RM3,100. Ini adalah contoh yang kita harap syarikat swasta, khususnya yang mencatat keuntungan tinggi, akan ikuti,” katanya.

 

Anwar turut menekankan sistem pendidikan dari prasekolah hingga peringkat menengah akan terus diperkukuh bagi memastikan tiada kanak-kanak Malaysia tercicir, khususnya dalam penguasaan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) serta literasi digital.

 

“Kerajaan juga telah memperkenalkan Program Sejati Madani yang membolehkan komuniti tempatan menentukan sendiri projek pembangunan mereka. Ini adalah pendekatan baharu yang memberi kuasa kepada rakyat untuk memutuskan sama ada mahu membeli peralatan, menternak haiwan atau melaksanakan inisiatif berasaskan komuniti lain,” katanya.

 

Menyentuh mengenai pemeliharaan warisan, Anwar berkata ia akan terus menjadi keutamaan di bawah RMK13 (2026-2030) selaras dengan aspirasi Membentuk Semula Pembangunan dan Ekonomi Madani.

 

Antara projek berimpak tinggi ialah pemulihan mercu tanda bersejarah seperti Bangunan Sultan Abdul Samad, Dataran Merdeka dan Stesen Keretapi Kuala Lumpur.

 

“Projek ini bukan sahaja memelihara mercu tanda negara tetapi juga mengembalikan makna sebenar warisan Kesultanan Melayu dan Islam. Sebanyak RM1 bilion telah diperuntukkan melalui Khazanah [Nasional Bhd] untuk usaha ini,” katanya.

 

Menurut beliau, RMK13 bukan sekadar pelan pembangunan ekonomi, sebaliknya satu kerangka menyeluruh bagi menjamin kemakmuran, memperkukuh perpaduan nasional dan meningkatkan kualiti hidup rakyat.

 

Sehubungan itu, Anwar menggesa Dewan Negara meluluskan RMK13 bagi tempoh 2026-2030 yang bertemakan “Membentuk Semula Pembangunan”, yang menumpukan kepada strategi untuk “menaikkan siling” (mengembangkan potensi pertumbuhan ekonomi) dan “menaikkan lantai” (meningkatkan kesejahteraan rakyat). - BERNAMA