KUALA LUMPUR 7 Okt - Peningkatan kesedaran dalam kalangan pemegang taruh di sektor hartanah, pembinaan dan kewangan tentang risiko gempa bumi dijangka membuka ruang pendapatan baharu kepada sektor pembinaan dan insuran am, kata Maybank Investment Bank (Maybank IB)
Firma penyelidikan itu berkata, Malaysia mungkin dianggap ‘bertuah’ kerana kedudukan geografinya yang terselamat daripada bencana alam berskala besar seperti taufan dan gempa bumi yang kerap melanda jiran-jiran serantau di Asia Timur dan ASEAN.
Namun, peristiwa gempa bumi bermagnitud 4.1 yang baru-baru ini melanda Johor mengingatkan semua pihak negara ini tidak sepenuhnya kebal daripada ancaman seismik.
Menurut Maybank IB, dalam landskap pembinaan, syarikat seperti Gamuda Bhd dilihat berada dalam kedudukan strategik untuk meraih manfaat daripada peningkatan kesedaran terhadap risiko seismik atau gempa bumi ini.
Katanya, pengalaman luas Gamuda dalam projek-projek di kawasan gempa seperti Taiwan dan Australia membolehkan mereka memiliki kepakaran tersendiri dalam kejuruteraan tahan gempa.
“Syarikat pembinaan dijangka menerima manfaat secara langsung apabila pemilik bangunan berbelanja lebih bagi menjadikan hartanan mereka tahan gegaran ataupun pembaikan pasca kejadian serta naik taraf bangunan," katanya.
Selain sektor pembinaan, industri insurans am juga dijangka meraih manfaat daripada peningkatan kesedaran ini.
Dalam konteks ini Maybank IB melihat Allianz Malaysia, sebagai antara peneraju dalam insurans komprehensif hartanah, dinamakan sebagai saham pilihan utama dalam segmen ini.
"Ketika ini, perlindungan terhadap gempa bumi tidak termasuk dalam polisi asas, sebaliknya hanya ditawarkan sebagai rider tambahan kepada polisi kebakaran atau insurans rumah “all-in-one”.
"Dengan peningkatan frekuensi gegaran kecil dan kerosakan ringan, semakin ramai pengguna dan pemilik bangunan dijangka menambah perlindungan bencana alam ke dalam pelan insurans mereka – baik di peringkat individu mahupun korporat," katanya.
Maybank IB berkata, bertentangan dengan tanggapan sebelum ini Malaysia bebas sepenuhnya daripada zon gempa, kajian terkini menunjukkan negara ini turut terdedah kepada intraplate earthquakes, iaitu gempa bumi yang berlaku dalam plat tektonik – bukan hanya di sempadan plat.
Beberapa kawasan yang dikenalpasti mempunyai garis sesar aktif di Semenanjung termasuk Bukit Tinggi, Pahang; Kuala Pilah, Negeri Sembilan; Manjung dan Temenggor, Perak dan Tasik Kenyir, Terengganu.
"Malah, garis sesar Kuala Lumpur juga dilaporkan melalui kawasan ibu negara, menimbulkan persoalan baharu tentang kesiapsiagaan struktur bangunan moden terhadap gegaran sederhana hingga kuat.
Maybank IB berkata, sebelum 2017, tiada garis panduan khusus bagi rekabentuk bangunan tahan gempa di Malaysia. Namun, penggubalan Uniform Building By-Laws (UBBL) dengan kod Eurocode 8 mula diperkenalkan sebagai rujukan untuk kejuruteraan struktur yang tahan gegaran.
"Kos tambahan bagi rekabentuk bangunan tahan gempa dianggarkan meningkat sekitar 5–10% daripada kos struktur, namun dianggap wajar berbanding potensi kerugian besar akibat kerosakan struktur atau kehilangan harta benda sekiranya berlaku bencana sebenar," katanya. - DagangNews.com








