Ringgit terlalu kukuh menekan keuntungan sektor eksport berasaskan dolar AS, kata HLIB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ringgit terlalu kukuh menekan keuntungan sektor eksport berasaskan dolar AS, kata HLIB

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 28 JanHong Leong Investment Bank (HLIB) menegaskan pengukuhan nilai ringgit menimbulkan tekanan ke atas sektor eksport yang meraih hasil dalam dolar Amerika Syarikat (AS).


Bagaimanapun, firma penyelidikan tersebut berkata, situasi itu memberi manfaat kepada syarikat-syarikat yang bergantung tinggi pada permintaan domestik, dalam sektor seperti penerbangan dan automotif.


Turut berpotensi menikmati margin lebih baik akibat kos import dan perolehan lebih rendah ialah sektor simen, pembinaan, pengguna, media, tenaga boleh diperbaharui (RE), hartanah dan telekomunikasi. 


"Sebaliknya, sektor eksport seperti sarung tangan getah, produk teknologi, minyak dan gas huluan, perkhidmatan pembuatan elektronik, serta petrokimia dijangka terjejas," kata HLIB dalam notanya.


Di samping itu tambah firma berkenaan, syarikat tempatan yang terlibat aktiviti pengeluaran logam juga terkesan kerana pendapatan berasaskan dolar AS tidak seimbang dengan kos dalam dolar sendiri.


Ringgit merupakan antara mata wang serantau paling kukuh berbanding dolar AS, meningkat 12.8% sejak awal 2025, melebihi kenaikan Indeks Dolar Asia iaitu 3.5% dan berada pada tahap terkuat sejak 2018.


HLIB mengekalkan unjuran kadar pertukaran berbanding AS$1 pada purata RM4.05 dengan faktor sokongan jangka pendek daripada faktor penyempitan perbezaan kadar faedah antara AS dan Malaysia.


"Kami menjangkakan Rizab Persekutuan AS mungkin menurunkan kadar faedah sebanyak 50 mata asas, manakala Bank Negara Malaysia (BNM) diramal mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR)," katanya.


Walaupun pengukuhan ringgit memberi kesan positif kepada margin, terdapat kesan negatif pada sektor perladangan kerana penurunan kos baja mungkin diimbangi oleh daya saing harga minyak sawit mentah.


Dari sudut pasaran secara lebih luas, HLIB menyatakan FBM KLCI biasanya menunjukkan prestasi baik semasa tempoh pengukuhan ringgit, dengan sasaran indeks itu kekal pada 1,790 mata bagi 2026.


Pada masa yang sama, firma penyelidikan tersebut turut menambah AirAsia X Berhad ke dalam senarai pilihan utama mereka untuk diberikan perhatian oleh pelabur. - DagangNews.com