KUALA LUMPUR 26 Jan – RHB Research meletakkan nilai saksama 52 sen sesaham bagi Kee Ming Group Berhad, menjelang penyenaraian syarikat di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 12 Februari 2026.
Penilaian itu berdasarkan unjuran 11 kali nisbah harga kepada pendapatan (P/E) FY27, selain yakin sasaran kumpulan tersebut mengumpul modal RM25.3 juta menerusi tawaran awam permulaan (IPO).
Dana berkenaan jelas firma penyelidikan tersebut, akan digunakan semula oleh syarikat itu terutama bagi menampung modal kerja projek yang sedia ada serta menyokong pengembangan perniagaan baharu.
"Kami mengunjurkan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) 32% bagi tempoh FY25 hingga FY28, dipacu kedudukan kukuh Kee Ming di Perak, yang menjana 44.6% hasil 6MFY25," kata RHB Research.
Kee Ming jelasnya, merupakan penyedia perkhidmatan kejuruteraan mekanikal dan elektrikal (M&E) bersepadu, merangkumi pemasangan elektrik voltan tinggi (HV) hingga voltan ekstra rendah (ELV).
Katanya, ini termasuk tenaga solar fotovolta (PV), pengecas kenderaan elektrik (EV), serta sistem mekanikal seperti sistem penyaman udara dan pengudaraan mekanikal serta perlindungan kebakaran.
Menurut RHB Research, segmen industri kekal sebagai penyumbang utama hasil, merangkumi 70.5% bagi 6MFY25, manakala segmen tenaga bersih dan infrastruktur sambungan muncul sebagai pemacu baharu.
"Ia menjana sumbangan naik kepada 6.5%, berbanding hanya 1.0% pada FY23, dan dari segi unjuran keuntungan, kami menjangkakan CAGR pendapatan sebanyak 31% bagi FY25 hingga FY28," jelasnya lagi.
Keuntungan bersih Kee Ming pula diramal meningkat daripada RM8.2 juta pada FY25 kepada RM18.4 juta pada FY28, manakala Perak kekal sebagai pasaran utama, disokong oleh pembangunan kawasan industri.
Antaranya tambah RHB Research, zon perusahaan berskala besar seperti Lumut Maritime Industrial City (LuMIC), Kerian Integrated Green Industrial Park dan Silver Valley Technology Park.
Selain itu jelas firma penyelidikan tersebut, inisiatif peralihan tenaga negara serta kemasukan pelaburan pusat data (DC) dijangka membuka banyak peluang dalam segmen industri dan tenaga bersih.
"Sehingga 31 Disember 2025, Kee Ming mencatatkan buku tempahan terkumpul bernilai RM176.1 juta melibatkan 64 projek, dengan projek industri membentuk bahagian yang paling besar," katanya.
Sehubungan itu, RHB Research mengunjurkan potensi kemenangan kontrak sekitar RM110 juta pada FY27, berdasarkan kadar kejayaan bidaan kira-kira 15% daripada buku tender berjumlah RM760 juta.
Bagaimanapun, ia menegaskan beberapa risiko utama termasuk kebergantungan geografi kepada Perak, kadar pengisian semula tempahan yang perlahan, dan kos bagi kontrak harga tetap. - DagangNews.com








