RHB Research naikkan harga sasaran Farm Fresh kepada RM3.26, produk aiskrim antara pemacu utama pertumbuhan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

RHB Research naikkan harga sasaran Farm Fresh kepada RM3.26, produk aiskrim antara pemacu utama pertumbuhan

Kilang aiskrim Farm Fresh di Bandar Enstek - Gambar FB Azmi Zainal
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 19 Jan – RHB Research mengekalkan saranan Beli untuk Farm Fresh dengan harga sasaran baharu RM3.26, meningkat daripada RM3.03, mencerminkan potensi kenaikan saham sebanyak 17 peratus berbanding harga semasa RM2.80.

 

Menurut firma penyelidikan itu, saham Farm Fresh dijangka mendapat penilaian semula disebabkan permintaan berterusan dalam sektor pengguna sebagai pelindung defensif, terutama selepas kenaikan harga saham yang kukuh pada 2025. 

 

“Syarikat ini dianggap menarik kerana menawarkan kepastian pendapatan yang disokong oleh penggunaan domestik yang stabil.

 

“Faktor pemacu utama pertumbuhan Farm Fresh termasuk pengembangan pasaran baharu di Kemboja dan Filipina serta potensi memasuki pasaran Indonesia. 

 

“Selain itu, penambahan pengeluaran ais krim di Bandar Enstek, Negeri Sembilan, dengan kapasiti tiga kali ganda dijangka menyumbang secara komersial menjelang pertengahan 2026,” kata RHB Research dalam nota kajiannya.

 

Selain itu, margin keuntungan dijangka kekal tinggi dengan kos input yang stabil dan campuran produk yang semakin baik. 

 

Syarikat juga meluaskan segmen susu melalui produk Farm Fresh Grow dan meneruskan inisiatif ESG termasuk pengurangan pelepasan karbon serta penggunaan pembungkusan lestari.

 

Namun RHB Research turut menekankan risiko penurunan termasuk kelewatan dalam rancangan pengembangan dan kenaikan mendadak kos bahan mentah.

 

Untuk kewangan, RHB Research menjangka perolehan Farm Fresh meningkat kepada RM1.186 bilion pada 2026, dengan keuntungan bersih berulang sebanyak RM146 juta, menandakan pertumbuhan 36 peratus berbanding tahun sebelumnya. 

 

“Syarikat dijangka mengekalkan margin bersih sekitar 12 peratus dan memberikan hasil dividen 1 peratus.

 

“Kami menilai Farm Fresh sebagai pemain tenusu vertikal yang berkembang pesat, dengan operasi merangkumi penternakan, pengeluaran dan pengedaran pelbagai produk tenusu dan berasaskan tumbuhan. 

 

“Syarikat juga mencatatkan skor ESG keseluruhan 3.3 daripada 4, mencerminkan prestasi baik dalam aspek alam sekitar, sosial dan tadbir urus,” katanya.

 

Dengan strategi pengembangan yang mantap dan permintaan domestik yang stabil, Farm Fresh dijangka terus menjadi saham pilihan pelabur bagi sektor pengguna yang defensif. - DagangNews.com