RHB lancar pembiayaan hartanah luar negara untuk rakyat Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

RHB lancar pembiayaan hartanah luar negara untuk rakyat Malaysia

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 25 Julai - RHB Banking Group melancarkan Pembiayaan Hartanah Luar Negara RHB, satu kemudahan pembiayaan perumahan berdenominasi Ringgit Malaysia (MYR) dengan ciri fleksibel penuh, direka khusus sebagai sebahagian daripada penawaran RHB Premier.

 

Kemudahan ini menyasarkan pelabur hartanah rakyat Malaysia yang merancang untuk membeli hartanah kediaman di luar negara, terutamanya di Australia dan United Kingdom (UK).

 

Penawaran ini terbuka kepada rakyat Malaysia yang bukan pemastautin tetap atau warganegara UK dan Australia, tetapi berhasrat memiliki hartanah kediaman utama yang terletak dalam lingkungan 30km dari Daerah Perniagaan Pusat (CBD) Melbourne atau Sydney, Australia serta di London (Zon 1-3), UK.

 

RHB terus menyokong pelanggan segmen affluen dan premier dalam usaha mereka membina kekayaan, khususnya menerusi pelaburan hartanah.

 

Hartanah diiktiraf sebagai kelas aset yang terbukti mampu bertahan dalam jangka panjang, menawarkan nilai berterusan, kepelbagaian pelaburan, serta jaminan antara generasi. Ia kekal sebagai aset tahan lasak yang menyediakan potensi peningkatan nilai serta hasil sewaan, di samping bertindak sebagai lindung nilai semula jadi terhadap inflasi.

 

Pengarah Urusan, Perbankan Komuniti Kumpulan, RHB Banking Group, Jeffrey Ng Eow Oo berkata, RHB komited untuk menjadi rakan kongsi dipercayai kepada pelanggan RHB Premier yang ingin mempelbagaikan portfolio hartanah mereka merentasi sempadan.

 

"Pembiayaan hartanah luar negara ini melengkapi aspirasi pelanggan kami untuk meneroka peluang pertumbuhan baharu, mempelbagaikan kekayaan serta mendapatkan kediaman di lokasi strategik dan menarik. Kami bersedia untuk menawarkan kepakaran yang tepat agar pelanggan dapat melabur dengan yakin.”

 

Sebagai sebahagian daripada perancangan masa hadapan, lokasi hartanah yang diliputi dijangka diperluaskan berdasarkan prospek pasaran dan aspirasi pelaburan pelanggan, termasuk bandar utama lain di Australia serta kawasan luar Zon London.

 

Pelanggan turut mempunyai pilihan untuk membuat pelepasan awal pembiayaan semasa tempoh pembinaan bagi menguruskan risiko pertukaran mata wang asing, selaras dengan peraturan Bank Negara Malaysia mengenai pelaburan dalam aset mata wang asing.

 

Pembiayaan dalam Ringgit Malaysia (MYR) tersebut akan ditukar kepada mata wang asing dan disimpan dalam Akaun Pelbagai Mata Wang (MCA) RHB yang menjana faedah. Dana ini akan ditandakan sebagai cagaran sementara sebelum dihantar kepada peguam luar negara bagi proses pembayaran pembiayaan selepas hartanah siap.

 

Selain itu, pelanggan menikmati struktur pembiayaan yang fleksibel menerusi ciri full flexi yang membolehkan mereka membuat bayaran tambahan ke dalam akaun pembiayaan pada bila-bila masa. Selepas pembayaran pembiayaan dibuat, dana ini boleh dikeluarkan semula tanpa sebarang kos.

 

Penawaran RHB Premier ini menegaskan komitmen Bank dalam menyediakan penyelesaian kewangan menyeluruh, membolehkan pelanggan merebut peluang antarabangsa demi pulangan jangka panjang sambil mengekalkan kecairan serta mengoptimumkan leveraj.

 

Sokongan ini meliputi pelbagai matlamat kewangan termasuk perancangan pendidikan anak-anak, pemeliharaan kekayaan dan pewarisan harta.

 

Inisiatif ini turut sejajar dengan strategi PROGRESS27 RHB yang memberi tumpuan kepada pertumbuhan mampan menerusi perkhidmatan terbaik, keuntungan tinggi serta pendekatan yang bertanggungjawab dan berteraskan nilai. - DagangNews.com