KUALA LUMPUR 3 Nov – Pelupusan aset bukan teras oleh Rexit Bhd mampu membuka nilai aset sedia ada sekali gus memperkukuh lembaran imbangan kumpulan bagi meneroka peluang perniagaan baharu dalam tempoh mendatang, kata TA Research.
Firma penyelidikan itu menyifatkan langkah pelupusan aset itu sebagai perkembangan positif, dengan kumpulan dijangka merekodkan keuntungan pelupusan sebanyak RM5.1 juta.
"Sehingga akhir suku kedua tahun kewangan 2025 (2QFY25), Rexit berada dalam kedudukan tunai bersih sebanyak RM29.7 juta tanpa sebarang pinjaman – mencerminkan kekuatan asas kewangan yang kukuh serta pengurusan modal yang berhati-hati," kata firma itu dalam nota penyelidikan hari ini.
Rexit baru-baru ini mengumumkan telah menandatangani Perjanjian Jual Beli (SPA) dengan Auxano Capital Sdn. Bhd. bagi penjualan sebuah lot kedai tiga tingkat lengkap dengan kelengkapan dan perabot tetap pada harga tunai RM7.8 juta.
Hartanah tersebut, yang mempunyai keluasan binaan sekitar 368.4 meter persegi, terletak di Taman Bukit Mayang Emas, Petaling Jaya, Selangor.
Penilaian bebas meletakkan nilai pasaran hartanah itu pada RM6.8 juta, menunjukkan bahawa Rexit berjaya menjualnya pada premium RM1 juta berbanding nilai semasa pasaran.
Hasil pelupusan tersebut akan digunakan untuk pelaburan masa depan, pengambilalihan perniagaan baharu dan modal kerja. Transaksi ini dijangka selesai menjelang suku keempat tahun kewangan 2025 (4QFY25).
Tiada perubahan dibuat terhadap unjuran pendapatan FY25 hingga FY27 sementara menunggu pelaksanaan penuh urus niaga tersebut.
TA Research mengekalkan harga sasaran saham Rexit pada RM0.63, berdasarkan gandaan PE 10 kali unjuran pendapatan sesaham tahun kalendar 2026 (CY26F EPS), serta mengekalkan saranan BELI terhadap saham syarikat itu. - DagangNews.com








