Rapid Rail belanja RM1.8 juta lanjutkan waktu operasi acara besar di Bukit Jalil | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Rapid Rail belanja RM1.8 juta lanjutkan waktu operasi acara besar di Bukit Jalil

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 22 Jan – Rapid Rail Sdn Bhd membelanjakan kira-kira RM1.8 juta tahun lalu bagi melanjutkan waktu operasi perkhidmatan rel sempena penganjuran acara berskala besar di Bukit Jalil.

 

Kementerian Pengangkutan berkata, waktu operasi telah dilanjutkan sebanyak 11 kali sepanjang tahun lalu bagi menyokong acara utama seperti perlawanan bola sepak dan konsert.

 

Daripada operasi lanjutan tersebut, Rapid Rail mengutip tambang sehingga RM480,000.

 

Menurut kementerian itu, pendapatan kasar Rapid Rail sebelum diaudit mencecah RM732.5 juta, merangkumi RM694.8 juta daripada tambang dan RM26.7 juta hasil bukan tambang.

 

“Bagaimanapun, kos operasi bagi tahun lalu berjumlah RM1.3 bilion, menyebabkan Rapid Rail merekodkan defisit sebanyak RM603 juta,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.

 

Kenyataan itu dibuat sebagai menjawab soalan Tan Hong Pin (PH-Bakri) yang meminta penjelasan mengenai jumlah tambang dikutip Rapid Rail sepanjang tahun lalu serta perincian lanjutan waktu operasi perkhidmatan rel bagi acara-acara di Bukit Jalil. - DagangNews.com