Raja Muda Kedah mahu semua pihak hentikan buli, terapkan nilai-nilai murni terhadap pelajar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Raja Muda Kedah mahu semua pihak hentikan buli, terapkan nilai-nilai murni terhadap pelajar

Gambar Unit Penerangan Darul Aman
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 25 Ogos – Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin menggesa semua pihak agar memberi penekanan terhadap nilai-nilai murni kepada pelajar sebagai langkah awal mencegah kejadian buli berulang lagi pada masa akan datang.

 

Baginda bertitah, nilai-nilai murni seperti saling menghormati, berdisiplin dan berlapang dada ketika berbeza pandangan perlu diberi penekanan kepada golongan pelajar.

 

“Ini adalah antara usaha dan langkah awal pencegahan untuk membanteras gejala buli yang berlaku agar tidak terus berleluasa,” titah baginda ketika menghadiri Hari Kecemerlangan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Sarafudin Badlishah 2025 di Kulim pada Ahad.

 

Dalam pada itu, baginda turut menzahirkan kekecewaan akibat insiden buli yang berlaku hingga menyebabkan kematian seorang pelajar yang tular baru-baru ini.

 

Justeru, baginda mahu siasatan yang menyeluruh dilakukan serta tindakan tegas diambil terhadap mana-mana pihak yang cuai dalam kejadian itu.

 

“Jika gejala buli ini berlaku di sini, semua pihak yang terlibat perlu melakukan siasatan terperinci dan tindakan tegas mesti dikenakan agar kejadian buli tidak terus berulang lagi,” titah baginda.

 

Selain itu,baginda juga mengingatkan ibu bapa agar menjalankan tanggungjawab dengan baik untuk menjaga institusi kekeluargaan dengan memantau anak masing-masing.

 

“Bimbing anak-anak ini agar mereka tahu apakah tindakan yang betul dan salah supaya menjadi pedoman dalam hidup.

 

“Ibu bapa memainkan peranan di rumah dan guru pula di sekolah agar kemuliaan adab serta ketinggian akhlak menjadi nilai murni untuk pelajar.

 

“Buli mesti dihentikan dan langkah pencegahan ini perlu dimulakan segera dengan penekanan adab, akhlak serta nilai-nilai murni dari rumah dan sekolah,” titah baginda. - DagangNews.com