KUALA LUMPUR 6 Feb - Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) sedang membuat persediaan bagi mengendalikan peningkatan bilangan kenderaan elektrik (EV) dengan menaik taraf kemudahan serta memperkukuh keupayaan pemeriksaan selaras dengan evolusi piawaian semasa.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mahmood Razak Bahman berkata, EV ketika ini masih merangkumi sekitar 2% daripada jumlah volum industri (TIV), namun segmen tersebut dijangka menjadi fokus operasi yang lebih besar pada masa hadapan.
“Bagi pertumbuhan kenderaan komersial dan e-hailing pula, ia tidak memberi kesan besar kepada volum pemeriksaan Puspakom kerana populasi kenderaan yang perlu diperiksa kekal sekitar 1.1 juta hingga 1.2 juta unit setahun,” katanya kepada media.
Mahmood berkata, pemeriksaan EV pada masa ini memberi tumpuan kepada komponen keselamatan asas seperti brek dan sistem suspensi, manakala protokol masa depan dijangka diperluaskan kepada pemeriksaan khusus EV apabila rangka kerja kawal selia semakin matang.
“Ini penting bagi mengelakkan kenderaan terkandas akibat prestasi bateri yang merosot, yang juga boleh menimbulkan risiko keselamatan,” katanya.
Beliau berkata, syarikat itu telah mula membina kapasiti fizikal untuk pemeriksaan EV, bermula dengan pembukaan cawangan baharu di Cyberjaya yang akan menempatkan lorong EV khusus pertama Puspakom, sebagai bukti kesediaan memenuhi peningkatan permintaan EV.
Menurutnya, pusat pemeriksaan akan datang di Kajang, Bukit Beruntung dan Batu Caves direka dengan lorong universal yang boleh disesuaikan untuk pemeriksaan EV pada masa depan.
Tambah pelaburan dalam teknologi
Puspakom juga meningkatkan pelaburan dalam teknologi pemeriksaan sejajar dengan kemasukan sistem kenderaan baharu ke pasaran tempatan.
Mahmood berkata, agensi itu bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) bagi memastikan piawaian pemeriksaan seiring dengan perkembangan sistem bantuan pemandu termaju (ADAS).
“Landskap automotif tempatan kini semakin dipacu oleh teknologi seperti ADAS yang telah digunakan secara meluas oleh pengeluar tempatan termasuk Perodua dan Proton.
“Peranan kami adalah memastikan sistem pemeriksaan kenderaan berkembang selari dengan kemajuan teknologi kenderaan, dan JPJ sendiri mendapatkan pandangan Puspakom dalam menilai teknologi baharu ini,” katanya.
Dalam usaha meningkatkan kecekapan dan ketelusan, Mahmood berkata Puspakom kini memperkenalkan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk pemeriksaan bahagian bawah kenderaan, khususnya melalui trak pemeriksaan bergerak.
Beliau berkata, sistem AI yang dibangunkan bersama syarikat tempatan itu menyokong pengesanan automatik isu seperti kecacatan gandar, masalah sistem brek, kebocoran minyak, karat serta kerosakan menggunakan pemeriksaan berasaskan kamera dan perisian pembelajaran mendalam.
Selain itu, Puspakom turut membangunkan sistem pemeriksaan tayar berasaskan laser bagi mengesan kedalaman bunga dan integriti tayar secara automatik, yang berpotensi mengurangkan risiko manipulasi data.
“Teknologi ini kini berada pada peringkat Bukti Konsep (POC) dan dijangka diperkenalkan seawal tahun ini, tertakluk kepada kelulusan JPJ serta kos pelaksanaan yang munasabah.
“Bagi kenderaan berat seperti lori 18 tayar, sistem ini jauh lebih cekap berbanding pemeriksaan manual yang memerlukan pemeriksaan setiap tayar satu persatu,” katanya.
Mengenai caj, Mahmood berkata kadar bayaran pemeriksaan masih dikawal selia kerajaan, dengan kadar tertinggi dihadkan kepada RM90 dan tidak berubah sejak 2007 walaupun kos operasi meningkat.
“Bagi memastikan kelestarian kewangan, antara pilihan yang sedang dibincangkan termasuk memperluaskan kategori kenderaan yang diwajibkan menjalani pemeriksaan, termasuk kenderaan persendirian atau milik kerajaan, selain semakan semula kadar bayaran,” katanya. - DagangNews.com








