KUALA LUMPUR 16 Jan — Public Investment Bank kekal optimis ke atas Capital A Berhad, didorong kemajuan pelan penstrukturan semula kumpulan untuk keluar daripada status Nota Amalan 17 (PN17).
Sehubungan itu firma penyelidikan berkenaan, mengekalkan saranan 'outperform' dan menaikkan harga sasaran (TP) syarikat bermasalah tersebut kepada 72 sen, berdasarkan penilaian jumlah bahagian.
Menurutnya, keyakinan itu bersandarkan pencapaian terbaharu pembiayaan utama di AirAsia X Berhad (AAX), dengan proses pelupusan AirAsia Aviation Group Ltd (AAAGL) kini berada pada fasa akhir.
"Saham bagi transaksi ini bakal diterbitkan pada 16 Januari 2026, diikuti penyenaraian pada 19 Januari 2026, dan akan seterusnya membuka laluan luas kepada Capital A keluar daripada PN17," kata PublicInvest.
Kumpulan penerbangan itu pada 15 Januari 2026, mengurangkan pegangan sahamnya dalam AAX melalui pelupusan 17 juta saham biasa berharga RM1.65 sesaham dengan nilai tunai keseluruhan RM28.05 juta.
Selepas penstrukturan tersebut selesai, tumpuan pengurusan dijangka beralih pula kepada lima anak syarikat utama, iaitu AirAsia Digital Engineering (ADE), Teleport, AirAsia MOVE, AirAsia Next dan Santan.
Tambah PublicInvest, ADE muncul sebagai pemacu pertumbuhan utama Capital A, susulan prestasi kukuh selepas siap hangar penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) 14 petak pada September 2024.
Artikel berkaitan: Capital A lupuskan 17 juta saham AirAsia X bernilai RM28.05 juta
"Dengan kapasiti sedia ada beroperasi penuh, ia merancang menambah empat petak dan menyasarkan 40 lagi petak di Malaysia dalam tempoh lima tahun, selain meneroka peluang serantau," katanya lagi.
Teleport pula mencatat pemulihan dengan beberapa suku berturut-turut keuntungan operasi bersih positif, manakala jumlah kargo meningkat 17% tahun ke tahun (YoT) kepada 90,456 tan pada 3QFY25.
Strategi seterusnya subsidiari tersebut kata PublicInvest, ialah dengan memberi tumpuan kepada pengembangan rangkaian, perkhidmatan e-dagang dan model hibrid yang berasaskan aset ringan.
Bagaimanapun, bagi AirAsia MOVE, firma itu menyatakan prestasi yang bercampur dengan pertumbuhan tempahan hotel dan penglibatan pengguna, namun terjejas dari segi hasil akibat pelarasan harga.
"Platform itu kini beralih strategi untuk menjadi agensi pelancongan dalam talian (OTA) berfokus nilai, manakala AirAsia Next terus memainkan peranan strategik dalam aspek pengurusan" tambahnya.
Usaha syarikat itu kata PublicInvest termasuk pelesenan jenama AirAsia sebagai aset harta intelek teras yang menjana aliran royalti secara berterusan, dengan merangkumi pelbagai model francais global.
Sementara Santan pula jelasnya, menunjukkan prestasi kukuh dan sedang berkembang daripada katering penerbangan kepada pengedar makanan secara B2B serta jenama runcit dalam pelbagai saluran.
Secara keseluruhan, firma itu menegaskan pemulihan permintaan perjalanan dan penamatan status PN17 kekal pemangkin utama jangka terdekat menyokong pertumbuhan baharu Capital A. - DagangNews.com








