Prospek tenaga boleh diperbaharui, utiliti cerah didorong projek baharu dan permintaan pusat data - HLIB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Prospek tenaga boleh diperbaharui, utiliti cerah didorong projek baharu dan permintaan pusat data - HLIB

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 15 Jan - Prospek sektor tenaga boleh diperbaharui (RE) dan utiliti di Malaysia dilihat kekal positif tahun ini, disokong oleh peningkatan penggunaan modal, penetapan semula rangka kerja kawal selia serta momentum penyahkarbonan korporat yang semakin kukuh, kata Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata, selepas melalui tempoh turun naik akibat gangguan operasi dan peralihan dasar, tahun ini dijangka menawarkan keterlihatan pendapatan yang lebih jelas, pemacu permintaan yang lebih stabil serta kitaran baharu penganugerahan projek merangkumi segmen RE dan utiliti terkawal.

 

HLIB turut menyifatkan tahun ini sebagai titik perubahan penting bagi sektor tersebut, dipacu oleh skala projek yang lebih besar, kemajuan teknologi serta usaha pengoptimuman kos.

 

Katanya lagi, peluang tenaga berskala utiliti dijangka meningkat, didorong oleh pelaksanaan program Large Scale Solar 5+ (LSS5+), LSS6, program tarif galakan (FiT) 2.0 berkapasiti 300 megawatt, selain lebih banyak projek sistem penyimpanan tenaga bateri (Bess) kendiri.

 

“Tiga program utama ini sahaja berpotensi menjana kira-kira RM20 bilion peluang kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC),” kata HLIB  dalam satu nota penyelidikan.

 

HLIB turut melihat perkembangan positif dalam Skim Bekalan Tenaga Boleh Diperbaharui Korporat (Cress), dengan jangkaan tahun ini akan menyaksikan pelaksanaan yang lebih nyata, khususnya dalam kalangan pengendali pusat data (DC) yang berpotensi mengurangkan kos elektrik seunit sehingga 5%.

 

Firma itu menekankan pusat data sebagai faktor utama yang memacu permintaan tenaga, sejajar dengan lonjakan pelaburan kecerdasan buatan (AI) yang memerlukan kapasiti tenaga tinggi dan stabil.

 

“Perlumbaan AI yang memerlukan modal besar dijangka mendorong penggunaan Cress yang lebih meluas, dengan lebih banyak pusat data berskala besar menghampiri fasa siap di Malaysia tahun ini,” menurut HLIB.

 

Walaupun pembelian tenaga hijau oleh korporat semakin mendapat sambutan, firma itu berpandangan permintaan terhadap Cress masih berpotensi untuk berkembang lebih kukuh kerana skim tersebut menawarkan manfaat berganda, iaitu pengurangan kos elektrik yang dibekalkan serta pematuhan kepada sasaran kelestarian.

 

Sehubungan itu, HLIB mengekalkan saranan “overweight” terhadap sektor tenaga boleh diperbaharui, disokong oleh tema struktur jangka panjang dan kitaran pertumbuhan pendapatan yang positif.

 

Pemangkin utama sektor termasuk pelancaran kontrak baharu, penambahan kuota RE serta kesinambungan dasar sokongan kerajaan, walaupun firma itu mengingatkan mengenai risiko pelaksanaan projek dan kemungkinan kelewatan pembinaan pusat data.

 

HLIB turut mengulangi saranan BELI ke atas Solarvest Holdings Bhd dan Gamuda Bhd, berdasarkan kedudukan strategik kedua-dua syarikat itu untuk memanfaatkan kitaran peningkatan buku pesanan yang didorong oleh projek berskala besar. - DagangNews.com