Prospek sektor sarung tangan kekal suram, ancaman baharu dari ASEAN – CIMB Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Prospek sektor sarung tangan kekal suram, ancaman baharu dari ASEAN – CIMB Securities

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 16 Okt – Prospek jangka pendek bagi sektor sarung tangan getah kekal lemah berikutan persekitaran operasi yang terus mencabar, terutamanya disebabkan persaingan harga yang sengit, menurut CIMB Securities.

 

Firma penyelidikan itu menjangkakan harga jualan purata (ASP) akan kekal mendatar secara suku tahunan, memandangkan syarikat pengeluar masih berdepan kesukaran untuk memindahkan kenaikan kos kepada pelanggan, terutamanya di pasaran bukan Amerika Syarikat (AS) yang terus dilanda lebihan bekalan.

 

Walaupun tekanan harga kekal tinggi, CIMB Securities menjangkakan sedikit kelegaan dalam prestasi kewangan sektor ini dalam jangka masa terdekat, disokong oleh peningkatan volum jualan, hasil daripada aktiviti penstokan semula oleh pembeli.

 

Persekitaran kos yang lebih stabil dijangka kekal menyokong margin keuntungan sektor ini.

 

“Persekitaran kos yang lebih menggalakkan serta kejelasan mengenai tarif import yang akan berkuat kuasa mulai 1 Ogos dijangka memberikan latar belakang yang lebih stabil kepada pengeluar sarung tangan,” kata firma itu dalam nota penyelidikan.

 

Pengilang China Pindah Operasi ke Negara ASEAN

 

Bagaimanapun CIMB Securities turut berkongsi perkembangan baharu iaitu peningkatan aktiviti pengilang sarung tangan dari China memindakan kilang ke negara-negara ASEAN, yang dikhuatiri boleh menjejaskan sektor sarung tangan tempatan.

 

Pengeluar China dilaporkan mula membina kilang pengeluaran baharu di Vietnam, Indonesia dan Kemboja, sebagai respons terhadap tarif import tinggi yang dikenakan oleh kerajaan AS.

 

"Sarung tangan dari China ke pasaran AS kini dikenakan tarif import sebanyak 80% pada tahun 2025, dan kadar ini dijangka meningkat kepada 130% menjelang 2026," katanya.

 

Berikutan itu, bahagian pasaran eksport sarung tangan China ke AS telah merosot secara mendadak kepada hanya 3% setakat Julai 2025, berbanding kemuncak lebih 40% pada tahun 2024.

 

“Kami menjangka strategi harga agresif oleh pengeluar China akan terus menjadi ancaman, kerana mereka cuba meraih semula bahagian pasaran di AS,” kata CIMB.

 

Namun begitu, CIMB tidak menjangkakan sebarang pemangkin re-rating dalam masa terdekat, terutama sekali dalam konteks kelemahan berterusan nilai ringgit berbanding dolar AS dan kesukaran pasaran dalam menerima pemindahan kos.

 

Antara halangan utama pada suku keempat tahun ini adalah kemasukan kilang baharu oleh pengeluar asing di Asia Tenggara, termasuk kilang baharu milik Intco di Medan, Indonesia, yang dijangka mula menghantar pesanan sulung pada suku keempat tahun ini.

 

“Kapasiti kilang Intco di Medan dianggarkan mampu menyaingi kapasiti pengeluaran Hartalega Holdings Bhd sebanyak 37 bilion helai, berdasarkan skala tenaga buruh yang dirancang,” kata firma itu.

 

Walaupun pengoperasian penuh dijangka mengambil masa, kehadiran awal kilang tersebut dijangka menjejaskan lagi kedudukan Malaysia dalam pasaran eksport sarung tangan ke AS.

 

CIMB Securities mengekalkan saranan "Neutral" terhadap sektor sarung tangan buat masa ini, dengan Kossan Rubber Industries Bhd dinamakan sebagai pilihan utama syarikat dalam sektor berkenaan. - DagangNews.com