Prospek penambahan kontrak baharu, pendedahan sektor strategik jadikan MN Holdings pilihan pelabur - Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Prospek penambahan kontrak baharu, pendedahan sektor strategik jadikan MN Holdings pilihan pelabur - Maybank IB

Oleh Hamden Ramli

KUALA LUMPUR 30 Okt – Prospek penambahan kontrak baharu yang kekal aktif, selain pendedahan strategik dalam segmen pusat data (DC), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan solar dijangka menjadikan saham MN Holdings Bhd (MNH) terus menjadi pilihan utama pelabur, kata Maybank Investment Bank (Maybak IB).

 

Bank pelaburan itu berkata, MNH dijangka mencatat momentum pendapatan yang kukuh pada separuh pertama tahun kewangan 2026 (1HFY26), disokong oleh buku pesanan bernilai RM1.1 bilion serta beberapa projek DC yang dijangka siap.

 

Katanya, buku tender syarikat juga menunjukkan pemulihan yang positif, kini mencecah RM1.2 bilion berbanding RM776.7 juta pada Ogos 2025, peningkatan sebanyak 57.8%.

 

MNH juga terus menjadi pilihan utama pelabur berikutan pendedahan strategiknya dalam segmen pusat data (DC), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan solar.

 

"Fokus strategik ini dilihat sebagai pemacu utama keterlihatan pendapatan syarikat dalam tempoh sederhana, terutamanya dengan sasaran memperoleh tiga hingga empat projek solar bernilai antara RM30 juta hingga RM50 juta setiap satu, selain projek DC dan TNB yang sedang dijalankan.

 

“Dengan rekod pelaksanaan projek yang mantap dan kedudukan kukuh bersama pelanggan sedia ada, MNH berada pada landasan terbaik untuk terus mengekalkan momentum pendapatan serta meraih projek baharu dalam sektor strategik ini,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Berdasarkan faktor ini, Maybank IB mengekalkan saranan BELI ke atas MNH dengan harga sasaran (TP) pada RM2.27, sejajar dengan strategi syarikat yang memfokuskan segmen DC, TNB dan solar sebagai penyumbang utama aliran pendapatan masa depan.

 

Selain itu, MNH juga dilihat aktif dalam menambah kontrak baharu, termasuk membida tiga hingga empat projek DC di Cyberjaya dan Johor dengan nilai dianggarkan RM515 juta, serta fasa pengembangan baharu pelanggan A dan E yang dianggarkan RM510 juta secara keseluruhan.

 

Dalam segmen tenaga boleh diperbaharui, MNH menyasarkan untuk memperoleh tiga hingga empat projek berkaitan solar bernilai antara RM30 juta hingga RM50 juta setiap satu, khususnya bagi kerja-kerja fasiliti sambungan projek LSS5 dan LSS5+ yang dijangka mula dikeluarkan pada separuh pertama CY2026.

 

"Kami  menilai sasaran ini sebagai realistik memandangkan MNH mempunyai rekod prestasi yang kukuh dengan pemain utama dalam sektor solar seperti Solarvest Holdings Bhd, ERS Energy Sdn Bhd dan Nur Renewables Sdn Bhd," kata bank pelaburan itu.

 

Secara keseluruhannya, MNH kekal sebagai pilihan pelaburan menarik kerana pendedahan strategiknya yang luas, prestasi tender yang positif, serta rekod pencapaian yang mantap dalam sektor pusat data, TNB dan solar. - DagangNews.com