Prospek MN kekal kukuh disokong bidaan eksklusif RM480 juta - Phillip Capital | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Prospek MN kekal kukuh disokong bidaan eksklusif RM480 juta - Phillip Capital

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 2 Sept _ MN Holdings dijangka mengekalkan momentum pertumbuhan hasil pada 1HFY26 disokong penyegeraan pelaksanaan projek berkaitan pusat data (DC), kata firma Phillip Capital Research. 

 

Firma penyelidikan itu berkata, buku tender MN kekal sihat disokong projek-projek berkaitan DC, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan solar yang kukuh termasuk projek bidaan eksklusif bernilai RM480 juta yang belum direkodkan.

 

"Kami mengekalkan saranan BELI ke atas MN dengan harga sasaran tidak berubah pada RM1.82, berdasarkan prospek pertumbuhan yang kukuh dalam sektor infrastruktur kuasa negara, terutamanya dalam segmen DC dan tenaga solar," kata firma tersebut dalam kenyataan.

 

Menurut Phillip Capital, walaupun buku tender MN menurun kepada RM777 juta (-58% suku ke suku) selepas kehilangan beberapa tender dalam segmen DC dan TNB, namun firma berkenaan melihat penurunan itu sebagai sementara.

 

"MN sedang menyediakan bidaan baharu dalam kedua-dua segmen DC dan TNB. Selain itu, MN turut memegang hak "first-right-of-refusal" ke atas projek bernilai RM480 juta bersama dua pelanggan utama DC, yang belum direkodkan dalam buku tender. 

 

"Dalam sektor solar, MN kini membida empat projek fasiliti sambungan LSS5 bernilai RM186 juta, dan sedang mengintai tujuh lagi tender dianggarkan berjumlah RM350 juta. 

 

"Kami berpandangan penyertaan aktif MN dalam projek solar adalah positif, selaras dengan rancangan pelaksanaan kapasiti 6GW secara berperingkat di bawah LSS5, LSS5+ dan LSS6 dalam tempoh tiga tahun akan datang," kata firma berkenaan.

 

Setakat Ogos 2025, buku pesanan belum siap MN berjumlah RM1.1 bilion, merangkumi projek DC (46%), TNB (39%), solar (3%), air dan kumbahan (2%) serta lain-lain (10%). 

 

Phillip Capital menjangkakan momentum pendapatan dalam 1HFY26 akan didorong oleh pelaksanaan dua projek sambungan pencawang bernilai RM92 juta untuk Pelanggan A, serta projek EPCC pencawang sedia ada untuk Pelanggan C (RM170 juta) dan Pelanggan E (RM180 juta).

 

Satu lagi perkembangan positif yang berlegar di sekeliling syarikat adalah potensi Pelanggan A sedang giat memperoleh tanah di kawasan tengah bagi menyokong pelan pengembangan kapasiti sehingga 1GW, yang boleh membuka peluang kontrak sehingga RM750 juta untuk MN.

 

"MN juga merupakan kontraktor tunggal bagi projek pencawang Pelanggan A di Johor, memberikan kelebihan daya saing yang jelas apabila pelanggan tersebut meluaskan operasi ke kawasan tengah," kata firma itu.

 

Firma itu menambah, bagi mempersiapkan diri menghadapi lonjakan permintaan itu, MN telah mencadangkan pelaksanaan terbitan saham penempatan persendirian untuk menjana sehingga RM96 juta, yang akan mengukuhkan kedudukan kewangan syarikat bagi melaksanakan projek bernilai sehingga RM2 bilion.

 

"Kami mengekalkan saranan BELI dengan harga sasaran RM1.82, berdasarkan 18x PE ke atas EPS suku penuh tahun kewangan 2026 (CY26). 

 

"Kami terus melihat MN sebagai proksi kukuh kepada peluasan infrastruktur tenaga negara, dengan pendedahan strategik dalam sektor DC dan solar yang berkembang pesat.

 

"Risiko utama kepada saranan ini termasuk kelewatan dalam pelaksanaan projek yang boleh menjejaskan kadar penambahan buku pesanan serta sebarang gangguan luar jangka yang boleh menangguhkan kemajuan projek," kata firma itu.  - DagangNews.com