Prospek kukuh Matrix Concepts didorong strategi pelbagai teras tingkat pendapatan - MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Prospek kukuh Matrix Concepts didorong strategi pelbagai teras tingkat pendapatan - MBSB Research

Oleh Hamden Ramli

KUALA LUMPUR 29 Okt — Matrix Concepts Holdings Bhd (Matrix) dijangka terus mencatatkan pertumbuhan kukuh dalam jangka panjang berikutan strategi pelbagai teras yang dilaksanakan bagi mempelbagaikan sumber pendapatan serta memperkukuh kedudukan pasaran syarikat, kata MBSB Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pertumbuhan syarikat dijangka disokong oleh pembangunan utama Bandar Sri Sendayan di Seremban, projek mega Malaysia Vision Valley (MVV) City, serta penyertaan baharu syarikat dalam sektor hartanah Lembah Klang melalui pengambilalihan Horizon L&L.

 

"Selain sektor hartanah, perniagaan penjagaan kesihatan melalui Mawar Medical Centre di Seremban turut menjadi pemacu tambahan kepada pertumbuhan pendapatan kumpulan," kata firma itu.

 

Sehubungan itu MBSB mengekalkan saranan BELI terhadap saham Matrix Concepts dengan harga sasaran tidak berubah pada RM1.65, berdasarkan diskaun 22% kepada Nilai Aset Bersih Disemak (RNAV).

 

"Selain itu, hasil dividen yang menarik sebanyak 5.5% turut menjadikan saham Matrix Concepts sebagai pilihan menarik bagi pelabur jangka sederhana dan panjang," kata firma itu lagi.

 

Menurut MBSB, pembangunan Bandar Sri Sendayan terus menjadi tunjang utama kepada prestasi Matrix apabila ia menyumbang hampir 80% daripada hasil keseluruhan syarikat. 

 

Katanya, dengan baki tanah pembangunan seluas 984 ekar dan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM6.3 bilion, bandar bersepadu ini dijangka terus menyumbang pendapatan stabil kepada kumpulan.

 

"Jualan tahunan daripada bandar ini telah melebihi RM1 bilion selama empat tahun berturut-turut, dengan kadar pengambilan melebihi 85%, dipacu oleh minat pembeli dari Lembah Klang yang tertarik dengan harga mampu milik — sekitar RM600,000 bagi rumah teres dua tingkat.

 

"Selain penawaran harga yang menarik, kehadiran kemudahan seperti Adcote Matrix School, d’Tempat Country Club dan institusi pendidikan awam turut meningkatkan daya tarikan Bandar Sri Sendayan sebagai pilihan utama kediaman keluarga muda," katanya.

 

MBSB berkata, projek MVV City di Negeri Sembilan pula dilihat sebagai pemangkin pertumbuhan jangka sederhana dan panjang kepada Matrix. 

 

"Syarikat memiliki 2,382 ekar tanah di MVV 2.0, dengan 1,000 ekar diperuntukkan untuk pembangunan industri di MVV Tech Valley. Projek berimpak tinggi ini mempunyai GDV keseluruhan RM15 bilion dan akan dilaksanakan dalam tempoh 12 tahun. 

 

Fasa pertama membabitkan pembangunan 290 ekar tanah industri dengan GDV RM628 juta, dan jualan awal dilaporkan kukuh melebihi RM400 juta," katanya.

 

MBSB berkata, Matrix turut menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Golog Holdings Sdn. Bhd. untuk membangunkan 618 ekar di MVV Tech Valley — langkah strategik yang dijangka mempercepatkan pembangunan kawasan industri tersebut.

 

Sementara itu MBSB berkata, langkah Matrix menguasai Horizon L&L Sdn. Bhd. baru-baru ini memperluaskan kehadiran kumpulan ke pasaran Lembah Klang, khususnya di Kota Warisan, Sepang dan Banting.

 

"Horizon L&L dijangka menyumbang kepada pertumbuhan jualan dan pendapatan dengan pelancaran projek bernilai RM422 juta dalam tempoh 4QFY26 hingga 2QFY27. Antara projek utama termasuk Horizon KLIA (GDV RM366 juta) dan Horizon Avenue (GDV RM55.4 juta).

 

"Selain itu, Horizon L&L mempunyai pendedahan terhadap projek bertanah seperti Bandar Mahkota Banting (GDV RM405 juta) dan SELKU Quad Teres (GDV RM17.6 juta)," katanya.

 

Beliau menambah, kepakaran Horizon L&L dalam pembangunan bertingkat tinggi juga dijangka memberi nilai tambah kepada Matrix, yang kini sedang membangunkan Levia Residence (GDV RM520.9 juta) di Cheras, serta projek akan datang seperti Levia Puchong (RM717.6 juta) dan Levia Damansara (RM612 juta).

 

mawar
Mawar Medical Centre

 

Dalam pada itu, Mawar Medical Centre yang diambil alih pada tahun 2019 telah berjaya dipulihkan dan kini menjadi penyumbang stabil kepada kumpulan.

 

Jumlah katil di pusat perubatan itu meningkat daripada 30 katil pada FY21 kepada 109 katil pada FY26, manakala pelan pengembangan seterusnya akan dijalankan di atas tanah seluas 1.7 ekar bersebelahan hospital sedia ada.

 

"Sumbangan tahunan dijangka sekitar RM12 juta hingga RM15 juta, bersamaan 4–5% daripada unjuran pendapatan kumpulan, sekali gus menambah kestabilan kepada aliran tunai Matrix," katanya. - DagangNews.com