Prospek emas kekal kukuh disokong ketidaktentuan global - Franklin Templeton | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Prospek emas kekal kukuh disokong ketidaktentuan global - Franklin Templeton

Oleh HAMDEN RAML

KUALA LUMPUR 10 Feb – Prospek pasaran emas dijangka kekal positif meskipun berdepan turun naik harga jangka pendek berpunca daripada ketegangan geopolitik, konflik global serta ketidaktentuan fiskal dalam ekonomi utama dunia, menurut pengurus aset global Franklin Templeton. 

 

Pengurus Portfolio Franklin Templeton, Steve Land berkata, emas secara tradisinya mencatat prestasi baik ketika tempoh tekanan kewangan dan geopolitik, selain turut mendapat manfaat daripada paras hutang kerajaan yang tinggi, defisit fiskal berterusan serta toleransi inflasi yang lebih besar yang melemahkan keyakinan terhadap mata wang fiat.

 

“Walaupun berlaku pembetulan harga pada akhir Januari susulan aktiviti spekulatif berleveraj yang tinggi, khususnya di China, asas pasaran emas kekal kukuh berikutan bekalan yang terhad dan permintaan yang semakin meningkat,” katanya dalam nota penyelidikan baru-baru ini.

 

Mengulas prestasi saham pelombong emas, Land berkata sektor itu ketinggalan berbanding kenaikan harga emas fizikal, didorong oleh pembelian agresif bank pusat dan dana dagangan bursa (ETF) bersandarkan emas.

 

Menurutnya, banyak saham pelombong kini diniagakan di bawah penilaian sejarah walaupun menawarkan hasil aliran tunai bebas yang tinggi serta penilaian nilai perusahaan kepada aliran tunai yang menarik.

 

“Kami melihat penilaian saham pelombong telah ketinggalan kira-kira 20% berbanding harga spot emas sejak beberapa tahun kebelakangan ini, satu jurang yang tidak mencerminkan asas sebenar industri,” katanya.

 

Land turut menegaskan industri perlombongan emas kini berada dalam kedudukan yang lebih kukuh berbanding kitaran terdahulu, dengan kunci kira-kira yang sihat, disiplin modal yang lebih baik serta pulangan pemegang saham yang lebih tinggi.

 

Harga emas yang tinggi turut memacu pertumbuhan pendapatan dan aliran tunai yang ketara, dengan ramai pengeluar mencatat keuntungan rekod pada suku ketiga 2025 dan prestasi dijangka lebih baik pada suku keempat berikutan purata harga emas yang tinggi.

 

Selain itu, gabungan penjanaan tunai kukuh dan penilaian menarik telah merancakkan aktiviti penggabungan dan pengambilalihan (M&A), membantu pelombong meningkatkan nilai, menggantikan rizab dan memperkukuh prospek pertumbuhan jangka panjang.

 

Dari sudut risiko penurunan harga, Land berkata pelombong masih mempunyai penampan yang besar, dengan ekonomi sektor hanya terjejas ketara sekiranya harga emas jatuh di bawah paras sekitar AS$3,500 satu auns. - DagangNews.com