KUALA LUMPUR 3 Nov – Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) menafikan sebarang penglibatan atau kerjasama dengan Touch 'n Go Sdn Bhd dalam projek sistem kutipan tol aliran pelbagai lorong tanpa henti (MLFF).
Dalam kenyataan Prolintas menegaskan bahawa syarikat itu tidak terlibat dalam proses bidaan MLFF dan tidak mempunyai sebarang bentuk kerjasama atau perkongsian strategik dengan Touch 'n Go berkaitan projek berkenaan.
“Peranan kami hanya terhad kepada memberi kebenaran kepada Touch 'n Go menjalankan ujian konsep (proof of concept, POC) di Lebuhraya Kemuning–Shah Alam (LKSA).
"Ujian tersebut dijalankan semata-mata bagi tujuan pengujian dan tidak melibatkan sebarang bentuk kerjasama rasmi, sokongan atau penyertaan Prolintas dalam proses bidaan MLFF,” kata syarikat itu lapor The Edge.
Hanya ujian konsep, bukan kerjasama rasmi
Kenyataan tersebut dikeluarkan susulan laporan bertajuk “Six bidders said to be vying for multi-lane free flow toll collection system contract” yang diterbitkan pada Sabtu lalu.
Touch 'n Go sebelum ini, bersama STAR Systems International, telah menjalankan demonstrasi POC sistem MLFF pada Oktober lalu dan menyatakan kesediaannya untuk menyokong kerajaan serta rakan industri bagi pelaksanaan sistem itu di seluruh negara.
Selain LKSA, Prolintas merupakan pemegang konsesi bagi beberapa lebuh raya utama termasuk Ampang–Kuala Lumpur Elevated Highway (AKLEH), Guthrie Corridor Expressway (GCE), dan Kajang Dispersal Link Expressway (SILK) melalui pegangan 51% dalam Prolintas Infra Business Trust.
Syarikat itu juga memiliki secara langsung konsesi bagi Damansara–Shah Alam Elevated Highway (DASH) dan Sungai Besi–Ulu Kelang Expressway (SUKE). - DagangNews.com








