Prolintas Infra BT catat pertumbuhan stabil 3Q25, didorong trafik lebih tinggi dan kecekapan operasi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Prolintas Infra BT catat pertumbuhan stabil 3Q25, didorong trafik lebih tinggi dan kecekapan operasi

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 20 Nov – Prolintas Infra Business Trust (Prolintas Infra BT) terus mencatat prestasi kukuh apabila melaporkan pertumbuhan hasil berterusan bagi suku ketiga berakhir 30 September 2025 (3Q25), sejajar peningkatan trafik di semua lebuh raya kendaliannya.

 

Dalam laporan kewangan tidak diaudit yang dikeluarkan semalam, hasil operasi lebuh raya meningkat 3.9% tahun ke tahun kepada RM82.4 juta berbanding RM79.3 juta pada suku sama tahun lalu.

 

Peningkatan ini disokong pertumbuhan jumlah trafik merentasi empat lebuh raya utama di bawah seliaan Prolintas Infra BT.

 

Sistem Lingkaran Lebuhraya Kajang (SILK) mencatat pertumbuhan kutipan tol tertinggi pada 5.1%, diikuti Lebuhraya Kemuning–Shah Alam (LKSA) pada 4.1%.

 

Sementara itu, Lebuhraya Bertingkat Ampang–Kuala Lumpur (AKLEH) dan Guthrie Corridor Expressway (GCE) masing-masing merekodkan pertumbuhan 2.8%.

 

Keuntungan sebelum cukai (PBT) turut melonjak 27% kepada RM12.7 juta berbanding RM10.0 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

 

Prestasi ini dipacu oleh kawalan kos operasi yang stabil, strategi pelaburan lebihan tunai melalui instrumen patuh Shariah yang lebih berkesan, serta langkah pengoptimuman kos yang diteruskan sepanjang tahun.

 

Setakat separuh pertama FY2025, Prolintas Infra BT telah mengagihkan RM34.9 juta kepada pemegang unit. Dengan sasaran pengagihan RM70 juta bagi keseluruhan tahun kewangan 2025 kekal utuh, ia sekali lagi menegaskan komitmen Prolintas Infra BT terhadap penciptaan nilai yang konsisten dan mampan kepada pemegang unit.

 

Prolintas Infra BT kekal optimis terhadap prospek lebuh raya kendalian Trust itu berdasarkan permintaan perjalanan harian yang stabil di Lembah Klang.

 

Menurut syarikat itu, dengan ekonomi Malaysia yang menunjukkan ketahanan dan Lembah Klang terus menjadi pusat pertumbuhan, peluang masa depan kekal kukuh.

 

"Komitmen kami adalah untuk meningkatkan pengalaman pengguna melalui infrastruktur lebih pintar, operasi lebih cekap dan perkhidmatan yang menjadikan setiap perjalanan lebih bermakna,” katanya. - DagangNews.com