KUALA LUMPUR 25 Mei - Sarawak memperkukuh kedudukan sebagai hab tenaga serantau dengan pembangunan projek mega gas dan kuasa di Samalaju yang kini menjadi antara tonggak utama dalam menjamin keselamatan tenaga negeri menjelang 2030.
Projek Loji Janakuasa Kitaran Gabungan Samalaju (CCPP) dan Projek Saluran Paip Samalaju (SPL) dijangka memainkan peranan penting dalam memperkukuh kestabilan sistem bekalan elektrik negeri, di samping memastikan keupayaan mencukupi bagi memenuhi permintaan industri yang semakin pesat berkembang.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, projek bersepadu ini selari dengan aspirasi Sarawak untuk mencapai kapasiti penjanaan tenaga sebanyak 10 gigawatt (GW) menjelang 2030 dan 15GW menjelang 2035.
Beliau berkata, pembangunan infrastruktur gas dan tenaga di Samalaju menjadi asas penting dalam membentuk sistem tenaga yang lebih stabil, cekap dan berdaya tahan bagi menyokong pertumbuhan industri negeri.
Samalaju jadi nadi baharu sistem tenaga Sarawak
“Pembangunan infrastruktur kuasa dan gas bersepadu di Samalaju merupakan pemangkin utama dalam memperkukuh sistem tenaga Sarawak.
“Ia menyokong rantaian bekalan tenaga yang lebih cekap dan stabil, di samping menyediakan asas kukuh bagi pertumbuhan industri mampan di negeri ini,” katanya semasa lawatan tapak ke projek CCPP dan SPL di Samalaju pada Ahad.
Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), CCPP Samalaju dijangka mempunyai kapasiti penjanaan sekitar 1,500 megawatt (MW) melalui tiga blok turbin gas kitaran gabungan, dengan fasa pertama melibatkan dua blok 500MW yang sedang dalam pembinaan.
Projek itu dijangka memulakan operasi secara berperingkat bermula 2027 sebelum mencapai operasi penuh menjelang 2029.

SPL kukuhkan rangkaian bekalan gas industri
Sementara itu, Projek Saluran Paip Samalaju (SPL) direka untuk menyalurkan sehingga 300 juta kaki padu standard gas asli sehari (mmscfd) dari Kidurong ke Taman Perindustrian Samalaju sebagai sebahagian daripada sistem bekalan gas negeri.
Julaihi berkata, projek ini turut mencerminkan pendekatan tenaga seimbang Sarawak melalui penggunaan gas asli sebagai bahan api lebih bersih yang melengkapi sumber tenaga hidro negeri.
Penglibatan tenaga tempatan perkukuh industri
Beliau turut memuji penglibatan jurutera, tenaga teknikal dan kontraktor tempatan Sarawak dalam pelaksanaan projek ini, yang dilihat dapat memperkukuh pembangunan bakat serta kapasiti industri tenaga negeri.
Katanya, projek berimpak tinggi ini bukan sahaja menyokong pembangunan tenaga dan industri, tetapi juga mewujudkan peluang pekerjaan serta menjana limpahan ekonomi jangka panjang kepada rakyat Sarawak.
Antara yang hadir semasa lawatan itu ialah Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Telekomunikasi), Datuk Liwan Lagang; Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (Pembangunan Pelabuhan), Datuk Majang Renggi; ADUN Jepak, Iskandar Turkee; serta ADUN Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming. - DagangNews.com








