Projek LSS5+ RM1.2 bilion oleh reNIKOLA di Terengganu dibangunkan bersama kumpulan perladangan tersenarai di London, Anglo-Eastern Plantations | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Projek LSS5+ RM1.2 bilion oleh reNIKOLA di Terengganu dibangunkan bersama kumpulan perladangan tersenarai di London, Anglo-Eastern Plantations

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 9 Sept – Pimpinan Ehsan Berhad memaklumkan, dua projek solar berskala besar (LSS) di Kemaman, Terengganu di bawah program LSS5+ kerajaan akan dibangunkan oleh anak syarikat tenaga boleh baharunya, reNIKOLA Holdings Sdn Bhd bersama kumpulan perladangan tersenarai di London, Anglo-Eastern Plantations plc, dengan jumlah pelaburan dianggarkan sebanyak RM1.2 bilion.

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia, Pimpinan Ehsan berkata, reNIKOLA telah menerima pemberitahuan daripada Suruhanjaya Tenaga pada 2 Sept bahawa ia telah disenarai pendek untuk membangunkan dua projek solar berskala besar (LSS) di Kemaman, Terengganu di bawah program LSS5+ kerajaan, dengan kapasiti gabungan 400 MWac (618 MWp).

 

Kedua-dua projek tersebut, menurut syarikat itu, akan dibangunkan bersama Anglo-Eastern Plantations plc.

 

Projek pertama melibatkan sebuah loji berkapasiti 250 MWac (386 MWp) yang akan dibangunkan oleh sebuah konsortium yang terdiri daripada reNIKOLA, RE Chenderong Sdn Bhd (dahulunya dikenali sebagai RE Gebeng BKH Sdn Bhd) dan Anglo-Eastern Plantations.

 

Projek kedua pula ialah sebuah loji berkapasiti 150 MWac (232 MWp) yang akan dilaksanakan oleh Antara Hijauan Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh reNIKOLA, bersama Anglo-Eastern Plantations.

 

Projek-projek yang disenarai pendek ini adalah sebahagian daripada pusingan kelima bidaan kompetitif bagi LSS yang telah menyaksikan beberapa syarikat tersenarai — termasuk Malakoff Corp Bhd, Solarvest Holdings Bhd, Sunview Group Bhd dan Cypark Resources Bhd — berjaya merebut peluang untuk membina ladang solar baharu.

 

Seperti pusingan sebelum ini, projek LSS5+ yang berjaya akan membekalkan tenaga elektrik kepada grid nasional untuk tempoh konsesi 21 tahun, dengan penyambungan dijangka antara 2027 dan 2028, menurut Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air.

 

Pimpinan Ehsan mengambil alih reNIKOLA sebagai sebahagian daripada transformasinya menjadi pemain tenaga boleh baharu pada 2021.

 

Kumpulan itu telah diklasifikasikan sebagai syarikat tunai sejak tahun kewangan berakhir 31 Dis 2018 selepas mengambil alih status penyenaraian TRIplc Bhd dan melupuskan perniagaan pembinaannya kepada Puncak Niaga Holdings Bhd.

 

Ketika berita ini ditulis 11 pagi Selasa, saham Pimpinan Ehsan naik 3.12% kepada 82 sen, memberikan syarikat Pasaran Utama itu permodalan pasaran sebanyak RM57.03 juta. - DagangNews.com