KUALA LUMPUR 3 Nov – Pahang bakal menikmati pertumbuhan ekonomi baharu dan peluang pekerjaan hasil pembangunan projek loji pembuatan super magnet bernilai RM600 juta di negeri itu.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, projek berimpak tinggi ini berpotensi menarik pelaburan domestik dan antarabangsa sekali gus memberi limpahan ekonomi yang akan memanfaatkan rakyat tempatan.
“Saya amat mengalu-alukan pembangunan loji super magnet ini kerana dengan adanya pelaburan baharu, lebih banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan dan lebih ramai tenaga mahir akan datang ke Pahang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sesi ramah mesra bersama pemain industri Kuantan di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (Adtec) di Kuantan, Pahang.
Wan Rosdy turut memaklumkan perbincangan lanjut mengenai kemajuan projek tersebut akan diadakan bersama kerajaan Persekutuan.
“Kerajaan negeri juga akan memberikan pandangan dan input berkaitan industri ini bagi memastikan manfaatnya dapat dimaksimumkan,” tambahnya.
Sebelum ini dilaporkan bahawa JS Link dan Lynas Malaysia akan membangunkan kemudahan pengeluaran super magnet di Pahang — satu projek yang dijangka mengukuhkan peranan Malaysia dalam rantaian bekalan nadir bumi global serta membuka peluang baharu dalam segmen hiliran sektor tersebut. - BERNAMA








