Projek LCS: PAC panggil mesyuarat prosiding 4 Februari di Parlimen | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Projek LCS: PAC panggil mesyuarat prosiding 4 Februari di Parlimen

KUALA LUMPUR 30 Jan - Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen akan mengadakan mesyuarat prosiding berhubung projek pembangunan Kapal Tempur Pesisir (Littoral Combat Ship, LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Bangunan Parlimen pada 4 Februari ini.

 

Pengerusi PAC, Datuk Seri Mas Ermieyati Samsudin berkata, mesyuarat tersebut akan diadakan sebagai susulan bagi membincangkan hasil lawatan kerja PAC berkaitan projek pembangunan kapal peronda LCS generasi kedua di Limbungan Kapal Lumut Naval Shipyard (LUNAS), Perak pada Jumaat lalu, selain meneliti perkembangan terkini projek berkenaan.

 

“Ini merupakan lawatan ketiga PAC bagi memantau projek ini, selepas prosiding PAC sebelum ini berkaitan projek LCS,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Beliau berkata, sepanjang lawatan tersebut, PAC Parlimen telah diberi taklimat mengenai kemajuan pembinaan kapal-kapal LCS, garis masa projek serta cabaran yang dihadapi dalam menyiapkan projek berkenaan.

 

“PAC juga dibawa meninjau LCS1 yang kini dalam pembinaan di limbungan LUNAS. Jawatankuasa turut dibawa melihat LCS2 dan LCS3 yang sedang dibina, dari luar kawasan pembinaan,” katanya.

 

Dalam lawatan itu, delegasi PAC turut disertai wakil-wakil daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Perkhidmatan Awam, Kementerian Kewangan, Jabatan Audit Negara dan Jabatan Akauntan Negara.

 

Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan (MINDEF), Datuk Lokman Hakim Ali, beberapa pegawai kanan MINDEF serta wakil TLDM.

 

Mas Ermieyati berkata, PAC akan terus memantau perkembangan projek LCS dari semasa ke semasa bagi memastikan kapal-kapal tersebut dapat disiapkan mengikut jadual masa dan kos yang telah dipersetujui. - BERNAMA