KUALA LUMPUR 19 Jan – IOI Corporation dijangka terus mencatat prestasi kukuh pada tahun kewangan FY26, dengan strategi meningkatkan hasil ladang kelapa sawit dan mempelbagaikan sumber pendapatan melalui projek kelapa yang terbesar di Malaysia, menurut CGS International.
Firma penyelidikan itu berkata pengeluaran tandan buah segar (FFB) kelapa sawit dijangka meningkat antara lima hingga 10 peratus tahun ke tahun, selaras dengan ramalan CGSI sebanyak enam peratus.
“Peningkatan ini didorong oleh kira-kira 40 peratus ladang IOI yang berada pada usia matang serta produktiviti ladang semakin baik dengan pertumbuhan FFB dan hasil minyak sawit kira-kira lima peratus CAGR dari FY22 hingga FY25.
“Ini disokong oleh penggunaan bahan tanaman berprestasi tinggi, termasuk pokok klon elit dan hibrid generasi ketiga, serta pengurusan ladang yang lebih baik melalui automasi dan pendigitalan.
“Penurunan kos baja sebanyak enam peratus pada Disember 2025 dijangka menyokong peningkatan margin keuntungan separuh kedua FY26,” kata CGSI dalam nota kajiannya.
Selain itu, bahagian pemprosesan produk sawit (downstream) IOI juga terus menunjukkan tanda pemulihan. Perniagaan oleokimia dijangka terus pulih selepas mengalami pembaikan prestasi pada suku pertama FY26.
Namun, sub-segmen kilang penapis (refinery) dijangka kekal mencabar akibat kelebihan kapasiti industri di Indonesia dan kos bahan mentah yang tinggi.
Selain sawit, IOI memperluas operasi ke penanaman kelapa dengan sasaran 5,000 hektar menjadikannya penanam kelapa terbesar di Malaysia.
Setakat Jun 2025, IOI telah menanam 3,616 hektar, termasuk penanaman tambahan 485 hektar pada FY25. Pada November 2025, syarikat itu menubuhkan usaha sama dengan Mega Star Holdings, firma pelaburan berpusat di Singapura, untuk membangunkan kompleks pemprosesan kelapa lestari di Segamat, Johor.
Kompleks ini dijangka siap pada separuh pertama FY28, dengan kapasiti memproses 100,000 kelapa sehari pada Fasa 1, dan sehingga 300,000 kelapa sehari pada Fasa 2 apabila ladang kelapa berkembang.
CGSI berkata projek ini dijangka menyumbang RM70 juta hingga RM80 juta pra-cukai setahun atau sekitar tiga peratus daripada keuntungan FY28F.
Dari segi kewangan, CGSI mengekalkan cadangan Tambah untuk saham IOI dengan harga sasaran RM4.65.
“Pendapatan FY26F dijangka RM16.6 bilion, meningkat daripada RM11.3 bilion pada FY25, manakala keuntungan bersih FY26F dijangka RM1.537 bilion berbanding RM1.521 bilion FY25,” katanya.
IOI juga mengekalkan prestasi ESG yang baik. Intensiti gas rumah kaca (GHG) syarikat menurun kepada 1.22 MT CO₂e per MT CPO pada FY25 berbanding 1.30 pada FY24, melebihi sasaran pengurangan 40 peratus yang ditetapkan pada FY25.
Semua ladang dan kilang di Malaysia memperoleh sijil MSPO manakala ladang dan kilang di Indonesia dijangka mencapai pensijilan RSPO sepenuhnya menjelang 2027.
Harga saham IOI kini RM4.06 dengan potensi kenaikan 14.5 peratus ke harga sasaran RM4.65 disokong lonjakan harga CPO dan aktiviti penggabungan atau pengambilalihan, manakala risiko termasuk pengeluaran FFB lebih rendah daripada jangkaan dan perubahan dasar sawit Indonesia yang tidak menguntungkan.
Secara keseluruhan, IOI dijangka terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju industri sawit Malaysia sambil mempelbagaikan sumber pendapatan melalui projek kelapa berskala besar dan lestari yang menekankan teknologi tinggi dan ekonomi kitar semula. - DagangNews.com








