KUALA LUMPUR 23 Jan – Berjaya Hartanah Bhd mencatat satu lagi pencapaian penting apabila menamatkan pembinaan struktur penting (topping out) bagi OAKA Residences, projek pembangunan kediaman mewah milik syarikat itu yang terletak di Bukit Jalil.
Majlis meraikan kejayaan itu adalah simbolik terhadap kemajuan utama dalam pelaksanaan projek bernilai kasar pembangunan (GDV) RM373 juta itu yang membuka laluan kepada fasa seterusnya, melibatkan kerja-kerja kemasan dan persediaan penyerahan kepada pemilik.
OAKA Residences dibangunkan di atas tanah pegangan bebas seluas 0.89 hektar dan merangkumi dua menara kediaman setinggi 30 tingkat dengan keseluruhan 350 unit yang direka untuk memenuhi keperluan gaya hidup keluarga moden.
Unit kediaman yang ditawarkan mempunyai keluasan antara 882 kaki persegi hingga 1,509 kaki persegi, dengan setiap unit dilengkapi balkoni, ruang utiliti atau stor, serta dua hingga tiga petak parkir kenderaan, bergantung kepada jenis unit.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh barisan ahli lembaga pengarah, rakan kongsi projek, perunding, pihak berkepentingan serta jemputan, mencerminkan komitmen kumpulan terhadap kualiti pembinaan, kecekapan pelaksanaan dan pematuhan jadual.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Berjaya Land Berhad Syed Ali Shahul Hameed berkata pencapaian struktur itu membuktikan disiplin pelaksanaan serta tumpuan berterusan kumpulan terhadap kualiti dan penyempurnaan projek tepat pada masanya.
“Sambutan pasaran yang positif serta kemajuan jualan yang stabil mencerminkan keyakinan pembeli terhadap nilai dan kualiti pembangunan projek ini.
“Ia menunjukkan permintaan berterusan terhadap kediaman yang dirancang dan dibina dengan baik.
“Kumpulan kekal memberi keutamaan kepada projek pembangunan yang menepati kehendak pemilik rumah dan sejajar dengan standard kualiti Berjaya yang telah lama dipercayai pasaran,” katanya dalam satu kenyataan.
OAKA Residences turut menampilkan pelbagai kemudahan termasuk kolam renang, taman langit di aras bumbung dengan pavilion, taman permainan kanak-kanak serta gelanggang bola keranjang.
Kemudahan tersebut direka untuk menggalakkan gaya hidup aktif, interaksi sosial dan keseimbangan antara ruang peribadi serta komuniti dalam persekitaran bandar.
Sementara itu Pengarah Jualan dan Pemasaran Hartanah Berjaya Land Berhad Tan Tee Ming berkata, kejayaan mencapai peringkat topping-out bukan sahaja menandakan pencapaian pembinaan, malah satu pengesahan terhadap keyakinan pasaran terhadap projek tersebut.
Menurut beliau, faktor seperti status pegangan bebas, susun atur unit yang praktikal, kemudahan komprehensif serta lokasi strategik di Bukit Jalil menjadi pemacu utama kepada kadar tempahan yang memberangsangkan.
Dari segi lokasi, pembangunan itu terletak berhampiran destinasi komersial utama seperti Pavilion Bukit Jalil, institusi pendidikan termasuk IMU dan APU, serta kemudahan kesihatan, selain disokong rangkaian lebuh raya utama dan akses pengangkutan awam.
Seiring peralihan projek ke arah fasa penyiapan penuh, Berjaya Hartanah Bhd menyatakan komitmennya untuk mengekalkan piawaian tertinggi dalam aspek kualiti pembinaan, kelestarian dan kepuasan pelanggan, dengan penyerahan kepada pemilik megikut jadual yang ditetapkan. - DagangNews.com








