Projek Jambatan Tanah mega Thailand bernilai 1 trilion baht bermanfaat kepada Perlis Inland Port | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Projek Jambatan Tanah mega Thailand bernilai 1 trilion baht bermanfaat kepada Perlis Inland Port

Oleh Zahrah Husayn

KANGAR 22 Mei – Pembinaan projek jambatan tanah mega yang dikenali sebagai Terusan Super Kra (Thailand’s Kra Super Canal), yang dijangka bermula pada hujung tahun ini, akan memberi manfaat kepada Perlis Inland Port (PIP).

 

Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Mutiara Perlis, Wan Ahmad Zaheed Wan Mohamad berkata, sekiranya Thailand berjaya menyatukan jumlah kargo global yang kini dibahagikan antara Pelabuhan Ranong dan Pelabuhan Chumphon di Thailand, ia secara tidak langsung akan memberi manfaat kepada PIP memandangkan pembinaan jambatan tersebuh lebih hampir dengan lokasi strategik PIP di Perlis berbanding negeri-negeri semenanjung yang lain.

 

“Pada pendapat saya, majoriti (syarikat kapal antarabangsa) akan terus menggunakan laluan perkapalan antarabangsa, iaitu melalui Selat Melaka dan Singapura.

 

"Bagaimanapun projek jambatan darat ini dijangka akan memacu pertumbuhan untuk laluan kereta api antara benua terutamanya di antara Eropah, China serta ASEAN,” kata Wan Ahmad Zaheed kepada DagangNews hari ini.

 

Mutiara Perlis ialah sebuah syarikat usahasama antara Kerajaan Negeri Perlis dan sektor swasta yang ditubuhkan bagi membangunkan infrastruktur pengangkutan dan tenaga di Perlis. 

 

Baru-baru ini, terdapat perbincangan pasaran mengenai pembinaan projek mega Terusan Kra yang dijadualkan akan bermula pembinaannya pada akhir tahun ini, dimana projek itu dijangka  menghubungkan Lautan Pasifik dan Hindi, sepanjang kira-kira 95 km, dengan jumlah pelaburan sekitar 1 trilion Baht.


 

PIP

 


Projek Jambatan tanah dijangka membuka bidaan pada Disember 2025, dengan pembinaan dijangka bermula pada 2026. Fasa 1, bernilai 520 bilion Baht, dijadualkan beroperasi menjelang 2030.

 

Projek ini akan meliputi empat wilayah iaitu, Chumphon, Ranong, Surat Thani dan Nakhon Si Thammarat yang terletak dibawah Koridor Ekonomi Selatan (SEC) dan pembangunan akan dilakukan dalam empat fasa secara berperingkat.
 

Wan Ahmad Zaheed Wan Mohamad
  Wan Ahmad Zaheed Wan Mohamad

 


Ditanya sama ada PIP akan menyusun strategi perniagaan berdasarkan pelan Thailand, Wan Ahmad Zaheed berkata PIP akan mengambil kira faktor pembinaan jambatan tanah tersebut, namun pada masa yang sama memfokuskan kepada pertumbuhan segi tiga Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-Growth Triangle).

 

Mutiara Perlis telah menandatangani perjanjian kerjasama bersama Kalmar, sebuah syarikat yang beribu pejabat di Helsinki, Finland yang menyaksikan pelaburan strategik bernilai RM17 juta bagi pemerolehan 15 unit peralatan pengendalian kontena baharu jenama Kalmar. 

 

Pakej peralatan yang diperoleh merangkumi enam unit Kalmar Reach Stacker, tiga unit Empty Container Handler, dan enam unit Terminal Tractor, yang direka khusus untuk memenuhi keperluan operasi pergerakan kargo multimodal di PIP. 

 

Dengan peralatan baharu ini, Mutiara Perlis berada pada kedudukan terbaik untuk menggandakan kapasiti pengendalian kargo, sekali gus menyokong matlamat untuk mencapai kapasiti satu juta kontena bersamaan 20 kaki (TEU) setahun apabila projek ini siap sepenuhnya.

 

Wan Ahmad Zaheed turut berkata PIP akan memanfaatkan sepenuhnya rangkaian dan teknologi global Kalmar untuk meningkatkan produktiviti dan kecekapan.  

 

“Automasi pintar, pengendalian mampan dan kecekapan dipacu data antara strategi PIP dalam memanfaatkan teknologi dan peralatn Kalmar,” kata beliau lagi.

 

Beliau turut mengatakan bahawa PIP akan bermula dengan dengan 15 mesin Kalmar baharu pada tahun ini, kemudian berkembang dengan automasi dan teknologi hijau untuk menjadikan PIP sebagai salah satu pelabuhan pedalaman ASEAN yang paling cekap.

 

“Buat masa ini, Kalmar mempunyai operasi yang lebih besar di Thailand berbanding Malaysia, tetapi gudang Perlis mungkin boleh menjadi jambatan antara pusat bahagian serantaunya di Singapura dan pasaran Thailand selain daripada menyokong keperluan PIP sendiri,” ujar beliau lagi.

 

PIP adalah sebuah pelabuhan darat seluas 500 ekar yang terletak di sempadan Malaysia-Thailand berhampiran Padang Besar dan Lembah Chuping, bagi memudahkan perdagangan rentas sempadan antara Malaysia, Thailand, Lembangan Sungai Mekong dan China.

 

Fasa 1 PIP dijadualkan siap pada Julai 2025, terminal darat ini dijangka akan mengendalikan 300,000 TEU setahun, lebih daripada dua kali ganda jumlah 130,000 TEU yang sedang diproses di Padang Besar Container Terminal. 

 

Projek ini dijangka akan mencipta lebih 500 peluang pekerjaan baharu, merangsang aliran perdagangan serantau, dan mengurangkan kesesakan di pelabuhan laut pesisir yang sesak. Ia juga akan memperkukuh kedudukan Perlis sebagai pemain utama dalam Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER). - DagangNews.com