KUALA LUMPUR 26 Jan – Projek Jambatan Batang Lupar 1 mencatat detik bersejarah apabila proses penyambungan berlangsung hari ini sekali gus menandakan pembinaan jambatan lintasan sungai terpanjang di Malaysia itu menghampiri fasa akhir pembinaan.
Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dalam kenyataan hari ini berkata apabila siap sepenuhnya dan dibuka kepada orang awam pada Mei 2026, Jambatan Batang Lupar 1 akan menjadi jambatan lintasan sungai terpanjang di Malaysia.
“Ia bukan sahaja mercu tanda kejuruteraan, malah simbol kemajuan dan keupayaan Sarawak membangunkan infrastruktur berskala mega,” katanya.
Majlis penyambungan atau Stitching Ceremony itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Aidel Lariwoo, mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh jaringan perhubungan strategik serta memacu pembangunan sosioekonomi negeri.

Jambatan Batang Lupar 1 merupakan jambatan kekal dua lorong sehala yang dibina mengikut Standard JKR R5 itu mempunyai panjang keseluruhan 4,884 meter dan merentasi Sungai Batang Lupar dengan 87 pier sungai, menjadikannya antara projek infrastruktur paling signifikan pernah dibangunkan di Sarawak.
Pembinaan jambatan itu bertujuan menggantikan perkhidmatan feri Batang Lupar, sekali gus menyediakan laluan darat yang lebih selamat, cekap dan berterusan antara Sebuyau dan Triso.
Menurut JKR Sarawak, laluan baharu itu dijangka meningkatkan tahap kesalinghubungan kawasan pesisir, di samping menjadi pemangkin kepada pertumbuhan aktiviti ekonomi, pertanian dan pelancongan di wilayah terlibat.
“Projek ini diunjurkan memberi impak limpahan ekonomi yang besar dan menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi yang mampan di kawasan pesisir Sarawak,” menurut kenyataan itu.
JKR Sarawak turut menegaskan komitmennya untuk memastikan setiap projek dilaksanakan mengikut piawaian kualiti, keselamatan dan integriti tertinggi, selaras dengan aspirasi kerajaan negeri untuk membangunkan infrastruktur berimpak tinggi yang memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat dan masa depan Sarawak. - DagangNews.com








