KUALA TERENGGANU 12 Nov – Projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) dijangka memberikan kesan ekonomi yang signifikan kepada Negeri Terengganu apabila perkhidmatan kereta api tersebut mula beroperasi sepenuhnya, dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri dijangka meningkat daripada RM34 bilion pada 2020 kepada RM48.2 bilion menjelang 2040.
Menurut Kajian Pelan Induk Bersepadu Guna Tanah (PeGTa) Laluan ECRL yang dilaksanakan oleh PlanMalaysia, peningkatan purata tahunan KDNK dijangka sekitar 1.8% sepanjang tempoh pelaksanaan projek.
Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, ia merangkumi kesan langsung dan tidak langsung daripada aktiviti pembinaan serta operasi ECRL.
“Antara kesan positif projek ini ialah peningkatan pelaburan dalam sektor perindustrian dan logistik, pertumbuhan aktiviti perdagangan dan pelancongan, serta pembangunan berorientasikan transit (Transit-Oriented Development, TOD) di sekitar stesen-stesen utama ECRL,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Dr Mamad Puteh (PAS-Kuala Berang) yang ingin tahu unjuran kesan ekonomi projek ECRL terhadap pertumbuhan KDNK Terengganu dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Iman hari ini.
TOD ECRL di Terengganu ialah di Jerteh, Bandar Permaisuri, Kuala Terengganu, Dungun, Kemasik dan Chukai.
Projek ECRL sepanjang 665 kilometer itu akan menghubungkan negeri-negeri di Pantai Timur seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang dengan Pantai Barat Semenanjung, termasuk Selangor.
Ia dijangka menjadi tulang belakang rangkaian pengangkutan awam dan perkhidmatan kargo negara, mempercepatkan mobiliti barangan dan perkhidmatan, serta menyokong perkembangan sektor pelancongan dan perkhidmatan setempat.
Dalam perkembangan lain, Persidangan DUN Terengganu diberitahu, perincian data kerja kosong menunjukkan sektor pembuatan, pendidikan serta perkhidmatan sokongan dan pentadbiran menawarkan kekosongan tertinggi di negeri itu setakat September 2025.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Ariffin Deraman berkata, sektor pembuatan menjadi sektor tertinggi dengan menawarkan 2,065 kekosongan, diikuti sektor pendidikan dengan 1,712 kekosongan serta perkhidmatan sokongan dan pentadbiran (1,464).
"Data ini menunjukkan bahawa pada tahun 2025, keperluan tenaga kerja di negeri Terengganu lebih tertumpu kepada sektor perindustrian, pendidikan dan perkhidmatan sokongan dan pentadbiran selaras dengan pertumbuhan ekonomi dan peningkatan keperluan kemahiran teknikal di negeri ini," katanya menjawab soalan lisan Dr. Tengku Muhamad Fakhruddin Tengku Md Fauzi (PAS-Sura). - DagangNews.com








