Projek bina gudang di Shah Alam berjalan lancar, RHB naikkan sasaran harga saham IJM kepada RM3.73 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Projek bina gudang di Shah Alam berjalan lancar, RHB naikkan sasaran harga saham IJM kepada RM3.73

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 20 Ogos – IJM Corp Bhd semakin giat mengukuhkan kedudukannya di Shah Alam menerusi dua projek pembinaan gudang yang menunjukkan kemajuan memberangsangkan, sekali gus mendorong RHB Investment Bank mengekalkan saranan “BELI” dengan sasaran harga baharu RM3.73 berbanding RM3.30 sebelum ini.

 

Sasaran baharu itu mencerminkan potensi kenaikan sebanyak 23% daripada paras semasa selain pulangan dividen diunjurkan pada kadar 3%.

 

“Kami meninjau perkembangan dua projek gudang yang sedang dijalankan IJM Corp di Shah Alam dan berasa optimis dengan kemajuan setakat ini.

 

"Kehadiran tapak penyimpanan dan pejabat Maersk berkeluasan 2.1 juta kaki persegi di Seksyen 26 adalah bukti kepentingan kawasan tersebut dalam memenuhi keperluan logistik, dan ini seharusnya membantu IJM meraih projek baharu di kawasan berkenaan pada masa hadapan,” kata RHB dalam nota penyelidikannya.

 

Projek pertama bernilai RM654 juta telah dianugerahkan pada Jun 2023 oleh Global Vision Logistics (GVL) untuk membangunkan Shah Alam International Logistics Hub (SAILH). Fasa pertama merangkumi kompleks gudang empat tingkat, fasiliti parkir bertingkat, sebuah pejabat setingkat serta bangunan sokongan lain.

 

Projek kedua bernilai RM584 juta pula diperoleh pada Jun 2024 daripada Strategic Sonata untuk pembinaan Plot A sebuah hab logistik di Seksyen 15, bersebelahan dengan Plot B bernilai RM866 juta yang dianugerahkan kepada GDB Holdings.

 

Menurut RHB Invest, kemajuan projek amat ketara khususnya di tapak Plot A. “Ketika lawatan pada Mac lalu, tidak banyak struktur tinggi kelihatan, namun pada Julai kerja-kerja giat dijalankan dengan banyak kren digunakan sehingga kawasan itu digelar ‘Lembah Kren’. Berdasarkan anggaran kami, kedua-dua projek kini siap sekitar 60–80% dan dijangka selesai pada separuh pertama 2026.”

 

 

IJM

 

 

Kerja-kerja pembinaan bangunan industri, tidak termasuk pusat data, membentuk sekitar 26–28% daripada RM6.6 bilion buku pesanan belum siap IJM sehingga Mac 2025.

 

"Permintaan terhadap gudang di Shah Alam dijangka terus kukuh memandangkan lokasinya strategik – hanya 30–40 minit dari Pelabuhan Klang tetapi terhindar daripada kesesakan kawasan pelabuhan," kata RHB Invest.

 

Firma itu menambah, ia telah menaikkan gandaan penilaian P/E untuk bahagian pembinaan IJM kepada 18.5 kali daripada 15 kali sebelum ini, sejajar dengan sentimen perdagangan global yang semakin positif berikutan perjanjian perdagangan baharu termasuk kadar tarif Malaysia yang dikurangkan kepada 19%.

 

Penilaian asas juga dianjakkan ke tahun kewangan 2027 selain memasukkan premium ESG sebanyak 2% dalam sasaran harga.

 

“Kami percaya sebarang kejayaan meraih projek pusat data berskala besar dalam masa terdekat akan melonjakkan saham melepasi paras dagangan semasa memandangkan ia kini merupakan yang paling undervalued berbanding rakan setara. Risiko utama ialah kegagalan mendapatkan kontrak dalam tempoh yang sesuai,” kata RHB Invest. - DagangNews.com