KUALA LUMPUR 29 Jan — Projek solar baharu diraih BM GreenTech Berhad di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dijangka menyumbang 23% kepada hasil segmen solar bagi FY27.
Menurut analisis Maybank Investment Bank (Maybank IB), syarikat tersebut mampu menyiapkan projek kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) solar yang bernilai RM71.8 juta itu.
Sehubungan itu, firma penyelidikan berkenaan terus mengekalkan saranan ‘beli’ terhadap saham BM GreenTech dengan harga sasaran (TP) berasaskan jumlah bahagian (SOTP) sebanyak RM2.24 sesaham.
"Kami optimis walaupun tempoh pelaksanaan tidak diperincikan, projek itu dijangka dapat siap dalam tempoh kira-kira 18 bulan, atau pada separuh pertama 2027," katanya dalam nota kajian hari ini.
Berdasarkan unjuran itu jelas Maybank IB, sebahagian besar pengiktirafan pendapatan daripada projek dilaksanakan anak syarikat BM GreenTech, Plus Xnergy Sdn Bhd, direkodkan pada tahun kewangan 2027.
Tender tersebut melibatkan pembangunan loji solar fotovolta (PV) berkapasiti 36MWp di KLIA, yang direka untuk membekalkan tenaga boleh diperbaharui (RE) secara langsung kepada operasi terminal.
Artikel berkaitan: Plus Xnergy peroleh kontrak solar RM71.76 juta daripada Cenergi Aeropolis Renewable Energy di KLIA
Usaha berkenaan menerusi dua perjanjian berasingan dengan Cenergi Aeropolis Renewable Energytambah firma itu, sekali gus menyokong sasaran KLIA mencapai kadar karbon sifar bersih menjelang 2050.
"Kami turut mengekalkan unjuran pendapatan BM GreenTech memandangkan projek ini sejajar jangkaan sedia ada, selain menegaskan beberapa skim diramal menyokong momentum hasil," kata Maybank IB.
Antaranya jelas firma penyelidikan tersebt, termasuk pengenalan program Solar ATAP dan peralihan kumpulan itu ke arah rumusan solar bersepadu bersama sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS).
Ia turut menegaskan nilai kontrak itu merangkumi sebanyak RM42.8 juta bagi skop kerja kejuruteraan, pembinaan dan pentauliahan, manakala kira-kira RM29 juta bagi kontrak perolehan yang berkaitan.
Bagaimanapun komponen BESS sehingga kapasiti 45MWh pula tambah Maybank IB, tidak termasuk dalam peringkat semasa projek, namun diunjur memberi hasil untuk jangka panjang. - DagangNews.com








