KUALA LUMPUR 9 Jan - Insights Analytics Bhd berada pada landasan pertumbuhan yang lebih kukuh susulan kemenangan kontrak terbaharunya bagi Projek Grid Bekalan Air Serantau Betong di Sarawak, yang dijangka melonjakkan buku pesanan tertunggak syarikat sebanyak 192% kepada RM88.8 juta, menurut CIMB Securities.
Firma penyelidikan itu berkata, setakat 30 November 2025, baki buku pesanan tertunggak Insights Analytics berada pada paras RM30.4 juta, sebelum mengambil kira kontrak terbaharu tersebut.
Katanya, kumpulan berkenaan kini memiliki buku tender aktif dianggarkan antara RM200 juta hingga RM250 juta bagi projek yang disertai secara langsung sebagai pembida utama.
"Anggaran ini tidak termasuk potensi tambahan daripada anugerah subkontrak, yang berpotensi memberikan peningkatan lanjut kepada buku pesanan syarikat," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
CIMB Securities menjelaskan unjuran kewangan bagi tahun kewangan 2026 hingga 2028 (FY26–FY28) telah mengambil kira kira-kira RM130 juta kemenangan kontrak baharu, dengan kontrak terkini menyumbang secara signifikan ke arah memenuhi andaian tersebut.
“Sebarang tambahan kemenangan kontrak bernilai sekitar RM71.6 juta yang diiktiraf sepanjang FY26 hingga FY28 akan memberikan peningkatan kepada unjuran pendapatan semasa kami,” menurut nota itu.
Terdahulu, Insights Analytics mengumumkan penerimaan surat anugerah (LOA) daripada Bumia Sdn Bhd untuk bertindak sebagai subkontraktor bagi projek Grid Bekalan Air Serantau Betong.
Skop kerja melibatkan kerja-kerja paip, mekanikal dan elektrikal, serta kerja infrastruktur, dengan nilai kontrak tetap berjumlah RM58.4 juta.
CIMB Securities mengekalkan saranan Beli ke atas saham Insights Analytics, dengan harga sasaran tidak berubah pada RM2.10, mencerminkan prospek pertumbuhan pendapatan yang positif disokong oleh keterlihatan perolehan yang semakin kukuh. - DagangNews.com








