KUALA LUMPUR 9 Feb - Progressture Power (B) Sdn Bhd (Progressture Solar) dilantik sebagai kontraktor Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan, Pentauliahan (EPCC) serta Operasi dan Penyelenggaraan (O&M) bagi projek solar berskala utiliti berkapasiti 12 megawatt-peak (MWp) yang dibangunkan oleh Hibiscus Petroleum Berhad di Brunei Darussalam.
Di bawah pelantikan itu, Progressture Solar akan bertanggungjawab terhadap penyampaian keseluruhan projek serta operasi jangka panjang loji tenaga solar berkenaan.
Kemudahan tersebut akan membekalkan elektrik bersih kepada loji pemprosesan darat milik Hibiscus di Brunei, sekali gus membolehkan integrasi tenaga rendah karbon ke dalam operasi industri berintensiti tenaga tinggi.
Dalam kenyataan hari ini, Progressture Solar berkata, sebagai sebahagian daripada kemajuan projek, majlis pecah tanah telah diadakan di tapak projek yang terletak dalam Sungai Liang Industrial Park (SPARK), Mukim Liang, Kuala Belait, Brunei.
Majlis tersebut dihadiri wakil agensi kerajaan, pihak berkepentingan projek, rakan kerjasama serta pemain industri, sekali gus mencerminkan kerjasama berterusan dalam memacu kepelbagaian tenaga dan agenda kelestarian Brunei.
Ketua Pegawai Eksekutif Progressture Solar, Cliff Siaw Sze Hau berkata, pihaknya berbesar hati diberi kepercayaan untuk melaksanakan projek serta mengendalikan operasi jangka panjangnya.
“Fokus kami adalah kepada pelaksanaan berdisiplin, kualiti dan kebolehpercayaan bagi memastikan loji beroperasi pada piawaian tertinggi sepanjang hayat operasinya,” katanya.
Beliau menambah, projek itu merupakan langkah penting dalam menyokong peluasan penggunaan solar berskala utiliti di Malaysia, Brunei dan rantau lebih luas.
Sementara itu, kenyataan tersebut menambah, selain pelaksanaan projek, peranan operasi jangka panjang Progressture Solar dijangka memastikan prestasi sistem, kebolehpercayaan serta jangka hayat aset sepanjang tempoh operasi loji.
Tanggungjawab menyeluruh ini mencerminkan fokus syarikat terhadap penyampaian kitar hayat dan prestasi mampan bagi persekitaran industri yang kompleks serta berintensiti tenaga.
Projek ini turut menandakan projek solar berskala utiliti antarabangsa pertama Progressture Solar dan menjadi pencapaian penting dalam peluasan serantaunya di luar Malaysia.
Syarikat itu melihat projek berkenaan sebagai asas kepada kehadiran jangka panjang di Brunei, dengan lebih banyak kerjasama serta pembangunan tenaga boleh diperbaharui dirancang dalam pasaran tersebut. - DagangNews.com








