KUALA LUMPUR 26 Ogos – Southern Cable Group Bhd dijangka mengekalkan prestasi kukuh sehingga separuh kedua 2025, dipacu oleh peluasan kapasiti pengeluaran serta penghantaran kabel bagi projek-projek utama, menurut Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB).
HLIB berkata, pertumbuhan momentum syarikat akan disokong oleh peningkatan kapasiti tambahan sebanyak 2,000 km setahun dan permulaan penghantaran kabel 132 kilovolt (kV) untuk projek East Coast Rail Link (ECRL).
Menurut firma penyelidikan itu, pertumbuhan pendapatan pada tahun kewangan 2026 (FY26) bakal dipacu oleh pelancaran kabel 1,600 milimeter persegi 132kV serta jualan yang lebih kukuh di pasaran Amerika Syarikat (AS).
“Southern Cable kini merupakan pembekal tiga teratas kepada pelanggan utamanya di AS, yang pada masa ini meminta sehingga 100 kontena sebulan. Ini memberi ruang pertumbuhan yang ketara apabila fasiliti Lot 22 mula beroperasi pada FY26,” jelas HLIB.
Syarikat itu juga sedang dalam proses mendapatkan pensijilan Underwriters Laboratories (UL) bagi tiga lagi jenis kabel, selain dua produk sedia ada yang telah diluluskan. Kabel baharu ini membawa margin lebih tinggi sekali gus dijangka meningkatkan lagi keuntungan kumpulan.
HLIB turut menjangka permintaan daripada sektor tenaga solar akan mengukuh apabila projek Large Scale Solar 5 (LSS5) dan LSS5+ memasuki fasa kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) pada FY26.
Selain itu, permintaan tenaga elektrik negara dijangka terus meningkat, disokong oleh tiga faktor utama usaha berterusan Tenaga Nasional Bhd (TNB) memperkukuh ketahanan grid, pengembangan bekalan kuasa negara, dan penggunaan elektrik yang tinggi daripada industri intensif tenaga seperti pusat data.
HLIB menambah, dengan keluarnya seorang pesaing utama daripada pasaran, Southern Cable berpeluang untuk mengukuhkan lagi pegangan pasaran domestik.
HLIB mengekalkan saranan BELI terhadap Southern Cable dengan harga sasaran baharu RM2.17, naik daripada RM1.90 sebelumnya, berasaskan kedudukan kukuh syarikat dalam industri kabel kuasa Malaysia.
Selepas semakan semula, firma penyelidikan itu turut menaikkan unjuran pendapatan Southern Cable sebanyak 9% hingga 15%, selepas mengambil kira andaian jualan dan margin yang lebih tinggi. - DagangNews.com








