Potensi kukuh segmen tenaga diperbaharui beri kelebihan kepada pertumbuhan BM Greentech - Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Potensi kukuh segmen tenaga diperbaharui beri kelebihan kepada pertumbuhan BM Greentech - Maybank IB

Oleh Hamden Ramli

KUALA LUMPUR 17 Nov - Maybank Investment Bank (Maybank IB) memulakan liputan ke atas saham BM Greentech Bhd (BMG) dengan saranan BELI, dengan harga sasaran RM2.30, berdasarkan penilaian SOTP yang mengiktiraf potensi kukuh segmen solar, bio-tenaga dan rawatan air syarikat.

 

Model penilaian mengguna pakai 25x P/E CY26E untuk perniagaan solar EPCC, serta 18x P/E CY26E bagi segmen bio-tenaga dan rawatan air — selari dengan purata penilaian rakan setara tempatan. 

 

Ini meletakkan BMG pada 24x P/E CY26E, setanding penilaian pemain solar EPCC tempatan yang berada dalam lingkungan 21–27x.

 

Maybank IB melihat asas ini wajar memandangkan fokus BMG yang jelas terhadap penyelesaian tenaga bersih serta pasaran sasarannya yang luas di Malaysia dan Indonesia.

 

"BMG kini muncul sebagai pemain dominan dalam industri EPCC dandang biomassa di Asia Tenggara dengan kawalan pasaran 30–40% di Malaysia dan Indonesia, dua pengeluar minyak sawit terbesar dunia," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Maybank IB berkata, isaha berterusan serantau untuk menyahkarbon sektor industri serta agenda RE yang semakin agresif dijangka memacu permintaan berterusan terhadap dandang biomassa – sekali gus mengukuhkan prospek pertumbuhan jangka panjang BMG.

 

Katanya, segmen solar BMG kini menjadi penyumbang penting kepada pendapatan kumpulan, diperkukuh oleh pengambilalihan syarikat solar terkenal Plus Xnergy (PXH). 

 

"Pengambilalihan ini dijangka membuka peluang baharu bagi BMG untuk menembusi projek solar berskala utiliti serta sistem penyimpanan tenaga (BESS)," katanya.

 

Maybank IB menjangkakan segmen solar BMG akan menyumbang 41% kepada hasil FY26–FY28E, berbanding hanya 10–15% pada FY21–FY24.

 

Pada masa yang sama, segmen rawatan air BMG sedang melaksanakan projek rawatan air sungai untuk sebuah pusat data (DC) di Johor. 

 

Kejayaan pelaksanaan projek ini dijangka meletakkan BMG di posisi strategik untuk merebut peluang besar daripada pipeline DC 6.7GW di Malaysia.

 

Katanya, strategi pertumbuhan BMG selari sepenuhnya dengan agenda RE di Malaysia melalui NETR dan di Indonesia melalui RUPTL.

 

Dengan kedudukan kukuh dalam penyelesaian tenaga boleh baharu, BMG dijangka mencatatkan CAGR pendapatan 12% bagi FY26–FY28, dipacu tiga segmen perniagaan teras yang saling melengkapi serta pasaran sasarannya yang luas

 

Maybank IB berkata, walaupun prospek pertumbuhan adalah kukuh, risiko utama yang perlu diperhatikan termasuk perubahan dasar kerajaan, tekanan margin akibat persaingan industri dan volatiliti harga bahan mentah. - DagangNews.com