Pos Malaysia satukan perkhidmatan kurier domestik dan antarabangsa di bawah jenama Pos Laju | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pos Malaysia satukan perkhidmatan kurier domestik dan antarabangsa di bawah jenama Pos Laju

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 9 Jun – Pos Malaysia Berhad menyatukan perkhidmatan kurier domestik dan antarabangsa di bawah satu jenama iaitu Pos Laju sebagai sebahagian daripada usaha transformasi berterusan syarikat untuk memperkukuh kedudukannya dalam industri logistik negara.

 

Langkah ini dilihat sebagai usaha strategik untuk memudahkan pelanggan serta perniagaan mendapatkan perkhidmatan penghantaran melalui satu platform yang lebih jelas, mudah dan bersepadu.

 

Dengan penyatuan tersebut, semua perkhidmatan kurier kini akan beroperasi di bawah jenama Pos Laju, merangkumi penghantaran domestik dan antarabangsa tanpa perlu berurusan dengan sistem berasingan.

 

Pos Malaysia berkata, langkah ini juga mencerminkan fasa baharu transformasi syarikat yang telah beroperasi lebih 200 tahun dalam menghubungkan masyarakat dan perniagaan di dalam serta luar negara.

 

“Penyatuan perkhidmatan ini dijangka meningkatkan kecekapan operasi selain memudahkan perniagaan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), untuk mengakses pasaran global dengan lebih mudah.

 

“Dalam masa sama, perkembangan pesat e-dagang rentas sempadan turut mendorong keperluan kepada perkhidmatan logistik yang lebih ringkas, pantas dan boleh dipercayai,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Pos Malaysia menyasarkan untuk terus memperkukuh kedudukan Pos Laju sebagai platform utama penghantaran dalam negara dan antarabangsa bagi menyokong pertumbuhan sektor e-dagang tempatan.

 

Syarikat itu juga kini menyediakan akses penghantaran ke lebih 230 negara dan wilayah melalui gabungan rangkaian pos serta rakan logistik komersial global.

 

Selain perkhidmatan penghantaran, Pos Malaysia turut menawarkan ekosistem e-dagang menyeluruh termasuk kemudahan seperti penyimpanan, pemprosesan pesanan, pengambilan dan pembungkusan barangan.

 

Inisiatif ini membolehkan perniagaan memberi tumpuan kepada pertumbuhan jualan, manakala urusan logistik dan operasi belakang tabir diuruskan oleh Pos Malaysia secara lebih efisien.

 

Dari sudut prestasi, kadar penghantaran bungkusan domestik hari berikutnya (D+1) Pos Malaysia dilaporkan meningkat kepada 92 peratus pada tahun 2025, menunjukkan peningkatan ketara dalam kebolehpercayaan perkhidmatan.

 

Ketua Pegawai Jualan Kumpulan Pos Malaysia, Charles William berkata penyatuan ini bertujuan membantu perniagaan berkembang bukan sahaja dalam talian tetapi juga secara mampan dalam ekosistem digital yang semakin kompetitif.

 

Beliau berkata, Pos Laju sebagai platform tunggal akan memudahkan peralihan perniagaan daripada penghantaran domestik kepada perdagangan rentas sempadan dengan sokongan rangkaian logistik yang lebih menyeluruh.

 

Pelaksanaan penyatuan jenama ini akan dilakukan secara berperingkat melalui platform digital, cawangan runcit dan saluran perniagaan bagi memastikan proses peralihan berjalan lancar kepada semua pelanggan. - DagangNews.com