PNB perlu utamakan kepentingan negara dan bumiputera, semak semula cadangan jual Prolintas - PM Anwar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PNB perlu utamakan kepentingan negara dan bumiputera, semak semula cadangan jual Prolintas - PM Anwar

Oleh Hamden Ramli

KUALA LUMPUR 31 Ogos – Permodalan Nasional Berhad (PNB) perlu meletakkan kepentingan nasional dan Bumiputera sebagai pertimbangan utama dalam setiap keputusan yang dibuat, termasuk semakan terhadap pelaburan dalam Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas).

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa proses semakan tersebut tidak seharusnya diteruskan sekiranya ia menjejaskan manfaat jangka panjang kepada pemegang unit atau memberi kesan negatif kepada usaha PNB dalam menyumbang kepada kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara.

 

“Saya ingin menegaskan bahawa sebagai institusi yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga kepentingan negara dan Bumiputera, PNB perlu mengekalkan peranannya serta pegangan dalam aset strategik negara.

 

“Sehubungan itu, saya meminta agar PNB mengutamakan kepentingan negara dan Bumiputera dalam membuat sebarang keputusan.

 

“Proses semakan ini tidak wajar diteruskan sekiranya ia menjejaskan manfaat jangka panjang kepada pemegang unit atau menjejaskan sumbangan PNB terhadap kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Akhbar sebelum ini melaporkan bahawa PNB sedang menjalankan semakan strategik terhadap pelaburannya dalam Kumpulan Prolintas sebagai sebahagian daripada proses penilaian portfolio secara berkala.

 

Menurut PNB, inisiatif tersebut bertujuan mengenal pasti peluang untuk meningkatkan nilai jangka panjang demi manfaat pemegang unit.

 

PNB turut menegaskan bahawa segala keputusan pelaburan dibuat menerusi proses tadbir urus yang ketat, sejajar dengan mandat dan objektif pelaburan jangka panjang syarikat itu.

 

Baru-baru ini, PNB dilaporkan telah mengeluarkan tender untuk menjual keseluruhan portfolio lebuh rayanya yang telah dibangunkan sejak beberapa dekad lalu.

 

Syarikat tersenarai awam, IJM Corporation Berhad telah mengesahkan penyertaan dalam proses tender tersebut. DagangNews.com