KUALA LUMPUR 11 Sept - PMB Investment Bhd mengumumkan agihan tahunan sebanyak 2.0 sen seunit bagi dua dana utamanya, iaitu PMB Shariah Premier Fund dan PMB Shariah Equity Fund bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2025 dan 30 Ogos 2025.
Jumlah keseluruhan agihan kasar mencecah lebih RM11 juta, membuktikan prestasi konsisten kedua-dua dana berkenaan.
Menurut kenyataan PMB Investment, PMB Shariah Premier Fund mencatatkan hasil sebanyak 5.26% dengan jumlah agihan kasar RM4.85 juta, manakala PMB Shariah Equity Fund merekodkan hasil 3.37% dengan jumlah agihan kasar RM6.41 juta.
NAV (nilai aset bersih) bagi PMB Shariah Premier Fund akan diselaraskan daripada RM0.4048 kepada RM0.3848, manakala NAV PMB Shariah Equity Fund akan berubah daripada RM0.6364 kepada RM0.6164 selepas agihan.
Kedua-duanya berkongsi tarikh ex-date pada 29 Ogos 2025 dengan tarikh pelaburan semula pada 2 September 2025.
Ketua Pegawai Eksekutif PMB Investment, Hang Tuah Amin Tajudin berkata, dana syarikat terus menunjukkan prestasi mampan dalam tempoh tiga tahun.
“PMB Shariah Premier Fund telah mencatatkan pulangan terkumpul 37.57% atau purata tahunan 12.52%, manakala PMB Shariah Equity Fund memberikan pulangan terkumpul 62.29% atau purata tahunan 20.76% sehingga 31 Ogos 2025.
“Kami kekal optimis terhadap peluang pelaburan patuh syariah serta yakin dengan keupayaan penyelidikan kami untuk terus memberikan nilai berterusan kepada para pemegang unit,” katanya.
PMB Investment, anak syarikat Pelaburan MARA Bhd, merupakan pengurus dana patuh syariah yang aktif menawarkan produk pelaburan kompetitif bagi memenuhi keperluan pelabur runcit dan institusi. - DagangNews.com








