KUALA LUMPUR 29 Ogos - Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan kepentingan semua pihak akan terpelihara di bawah Rang Undang-undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar yang akan disambung pembentangannya dalam persidangan Dewan Rakyat Oktober ini.
Perdana Menteri berkata, dakwaan bahawa RUU tersebut akan meminggirkan orang Melayu atau memihak kepada satu kaum sahaja adalah tidak berasas.
Sehubungan itu, tegasnya, kerajaan akan menambah baik lagi RUU berkenaan bagi memastikan hak dan kepentingan semua kaum sentiasa terpelihara.
"(Mengenai) RUU URA, kalau dengar penjelasan menteri semalam, ia (menyebut) soal demografi. Soal Cina nak ambil hak orang Melayu, itu semua hampas, tak benar.
"Kita akan pertahan kepentingan semua kaum,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan Seksyen 1 Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) yang menghubungkan Persimpangan Sungai Long ke Persimpangan Ampang hari ini.
Perdana Menteri berkata, inisiatif pembentanan RUU Pembaharuan Semula Banda itu pada asasnya bertujuan membantu kumpulan M40 dan B40, khususnya mereka yang berdepan kesukaran memiliki kediaman mampu milik di kawasan bandar.
Ditanya sama ada kerajaan akan mengadakan libat urus bagu memperhalusi semula RUU berkenaan, Perdana Menteri berkata, fokus kerajaan adalah menyediakan persekitaran tempat tinggal yang selesa kepada rakyat khususnya golongan bawah dan pertengahan daripada semua kaum kerana kemiskinan berlaku kepada semua komuniti.
“Memang ada ramai Melayu miskin, tetapi begitu juga kaum India dan lain-lain. Kita mesti bantu mereka mendapatkan perumahan yang sempurna. Ada keluarga tinggal di flat sempit — satu bilik dengan enam anak, malah ada juga dua keluarga terpaksa berkongsi satu unit. Inilah realiti yang tidak boleh kita abaikan,” katanya. - DagangNews.com








