PJBumi selesai ambil alih 90% syarikat minyak Indonesia, PT Indodrill Bumi Perkasa | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PJBumi selesai ambil alih 90% syarikat minyak Indonesia, PT Indodrill Bumi Perkasa

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 9 Sept - PJBumi Berhad menyempurnakan pengambilalihan 90% pegangan ekuiti dalam PT Indodrill Bumi Perkasa (IBP) menerusi anak syarikatnya di Indonesia, PT Petrajaya Bumi, yang turut dimiliki 90% oleh PJBumi.

 

Menurut pemfailan kepada Bursa Malaysia, modal saham keseluruhan IBP berjumlah IDR10.5 bilion, bersamaan kira-kira RM2.71 juta berdasarkan kadar pertukaran Bank Negara Malaysia pada 2 September 2025 (IDR100 = RM0.0258).

 

Sebelum pengambilalihan, IBP dimiliki majoriti oleh Sagumani Lumbantobing dengan 70% pegangan saham.

 

Kini, PT Petrajaya Bumi memiliki 9,450 saham atau 90% pegangan langsung dalam IBP, manakala baki 10% kekal dipegang oleh Sangkap David Simorangkir.

 

Lembaga pengarah IBP turut berubah, menyaksikan pelantikan Adlin Shaharudin bersama Sangkap David Simorangkir sebagai pengarah baharu.

 

PJBumi dalam kenyataan sama turut mendedahkan penilaian gandaan pendapatan (earnings multiple) syarikat-syarikat setara dalam sektor perkhidmatan penggerudian di Indonesia dan global, antaranya:

  • PT Apexindo Pratama Duta Tbk: P/E ratio antara 36.50 hingga 62.90 kali

  • PT Ancora Indonesia Resources Tbk (OKAS): P/E ratio antara 8.99 hingga 30.31 kali

  • China Oilfield Services Limited (Hong Kong): P/E ratio antara 13.60 hingga 22.65 kali

  • TechnipFMC (NYSE): P/E ratio antara 11.83 hingga 24.41 kali

  • Saipem (Bursa Saham Milan): P/E ratio antara 10.15 hingga 29.12 kali

 

Berdasarkan analisis itu, harga pengambilalihan IBP ditetapkan pada 10.05 kali gandaan pendapatan, selaras dengan penanda aras industri dan prinsip ‘willing buyer, willing seller’. Penilaian dibuat secara dalaman tanpa melibatkan penilai bebas berdaftar kerana transaksi telah pun selesai.

 

Langkah strategik ini dijangka mengukuhkan kedudukan PJBumi dalam sektor perkhidmatan minyak dan gas serantau, selain membuka potensi pertumbuhan baharu di pasaran Indonesia yang sedang berkembang pesat. - DagangNews.com