KUALA LUMPUR 22 Sept – Syarikat perkhidmatan tenaga, PJBumi Berhad, menerusi anak syarikat tidak langsung milik 90%-nya di Indonesia, PT Indodrill Bumi Perkasa (IBP), meraih kontrak penerokaan dan eksploitasi minyak & gas di kawasan Mogoi Wasian, Papua, dengan nilai kontrak keseluruhan sebanyak AS$6.55 juta atau kira-kira RM27.56 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, sehubungan itu IBP telah menandatangani perjanjian perkhidmatan Pengurusan Projek Bersepadu (IPM) dengan PT Petro Papua Mogoi Wasian (PPMW).
Di bawah perjanjian yang dimeterai pada 19 September 2025 itu IBP akan melaksanakan penggerudian tiga telaga minyak & gas baharu, kerja baik pulih lapan telaga sedia ada dan pengurusan menyeluruh projek termasuk perolehan bahan, peralatan, dan tenaga kerja.
"Kerja-kerja ini akan dilakukan selaras dengan pelan kerja, spesifikasi teknikal, serta dasar dan garis panduan perolehan yang ditetapkan oleh PPMW," kata kenyataan itu
Menurut kenyataan itu, IBP sebagai kontraktor bertanggungjawab terhadap menjamin ketepatan dan kecukupan bidaan kos tanpa tuntutan tambahan, memperoleh semua lesen dan permit yang diperlukan dan mematuhi sepenuhnya undang-undang buruh dan peraturan tempatan.
Selain itu IBP juga akan menyediakan semua bahan, peralatan, kepakaran dan ruang untuk wakil PPMW, melaksanakan kerja dengan penuh kemahiran, teliti dan mengikut piawaian industri minyak & gas serta mematuhi sepenuhnya peraturan Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar (HSE) yang ditetapkan.
"Tempoh perjanjian ini ditetapkan selama 18 bulan, dari 19 September 2025 hingga 18 Mac 2027. Sebarang kerja hanya boleh dimulakan selepas Arahan Kerja rasmi dikeluarkan oleh PPMW.
"Nilai kontrak adalah harga tetap dan tidak boleh disemak semula sepanjang tempoh perjanjian, manakala tiada tuntutan tambahan dibenarkan walaupun berlaku kenaikan harga bahan atau gaji," kata kenyataan itu.
Lembaga Pengarah PJBumi menjelaskan kontrak ini tidak akan memberi kesan material terhadap modal diterbitkan, pemegangan saham utama, nisbah hutang, dan aset bersih sesaham kumpulan.
Bagaimanapun, perjanjian ini dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan bersih dan aset bersih sesaham bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026.
“Kontrak ini merupakan satu lagi pencapaian penting bagi kumpulan dalam memperkukuh kehadiran kami dalam sektor tenaga serantau,” kata PJBumi. - DagangNews.com








