Pindah ke Pasaran Utama tidak jamin pacu pendapatan jangka pendek LGMS, kata Mercury Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pindah ke Pasaran Utama tidak jamin pacu pendapatan jangka pendek LGMS, kata Mercury Securities

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 14 Jan — Pemindahan penyenaraian LGMS Berhad daripada Pasaran ACE ke Pasaran Utama Bursa Malaysia diramal tidak memberi kesan ketara prestasi pendapatan dalam tempoh terdekat.


Menurut Mercury Securities, walaupun langkah tersebut berpotensi meningkatkan kebolehcapaian dan profil pelaburan syarikat, perubahan itu bukan jaminan untuk peningkatan hasil untuk jangka pendek.


Firma penyelidikan tersebut sebaliknya berkata, pemindahan itu hanya adalah sebahagian daripada strategi jangka panjang LGMS bagi menarik minat ramai pelabur institusi dan rakan strategik.


"Sasaran khusus kumpulan berkenaan kepada pihak yangselama ini disifatkan sebagai terhad daripada melabur dalam syarikat tersenarai di Pasaran ACE," jelasnya dalam satu nota kajian hari ini.


Pengurusan LGMS menjelaskan bahawa syarikat tidak merancang penerbitan saham baharu, dan sebarang pengambilan saham oleh pelabur institusi dijangka dilakukan melalui urusan pasaran sekunder.


Langkah berkenaan kata Mercury Securities, sekali gus dijangka dapat mengelakkan berlaku aktiviti pencairan pegangan pemegang saham yang sedia ada sehingga mengurangkan permodalan syarikat itu.

 

Artikel berkaitan: LGMS terima kelulusan SC untuk disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia

 

Bagaimapun jelasnya, pemindahan ke Pasaran Utama dijangka meningkatkan profil korporat, kredibiliti dan kebolehlaburan LGMS, selain memberi fleksibiliti strategik untuk meneroka peluang tertentu.


"Situasi ini termasuk penggabungan dan pengambilalihan, perkongsian strategik serta perbincangan pengambilalihan, walaupun kesemuanya masih berada di peringkat awal dan tidak mengikat," ujarnya.


Sehubungan itu tambah Mercury Securities, pemindahan penyenaraian pasaran itu disasarkan untuk dimuktamadkan menjelang Februari 2026, tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa kawal selia.


Dari sudut kewangan, firma itu mengekalkan unjuran pendapatan LGMS pada RM9 juta bagi FY25 dan RM12 juta bagi FY26, serta mengekalkan harga sasaran 61 sen, dengan saranan 'pegang' tidak berubah.


Perkembangan positif tersebut katanya, berdasarkan unjuran gandaan sebanyak 23 kali nisbah harga kepada pendapatan (P/E) ke atas pendapatan sesaham (EPS) diraih kumpulan berkenaan pada FY26.


"Kami justeru terus kekal berhati-hati positif terhadap prospek jangka panjang LGMS, disokong oleh kedudukan kukuhnya dalam industri keselamatan siber di rantau Asia Pasifik," jelas Mercury Securities lagi.


Namun firma penyelidikan itu menegaskan risiko utama termasuk persaingan yang sengit, model perniagaan intensif tenaga mahir serta pendedahan tinggi kepada pelanggan tempatan. - DagangNews.com