KUALA LUMPUR 19 Jan – Pimpinan Ehsan Berhad (PEB) menerima lanjutan masa sehingga 30 Jun 2026 untuk mengemukakan pelan regularisasinya kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), menurut notis rasmi yang dikeluarkan oleh Bursa Malaysia Securities Berhad.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, PEB berkata lanjutan tersebut diberikan menerusi surat bertarikh 16 Januari 2026, susulan status syarikat itu sebagai Cash Company di bawah Perenggan 8.03 Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama.
Bagaimanapun, Bursa Securities menegaskan bahawa sekuriti PEB akan digantung dan dinyahsenarai sekiranya syarikat itu gagal memenuhi mana-mana syarat yang ditetapkan.
Antaranya gagal mengemukakan pelan regularisasi dalam tempoh lanjutan, gagal memperoleh kelulusan pihak berkuasa berkaitan, tidak berjaya dalam rayuan atau gagal melaksanakan pelan yang diluluskan dalam tempoh ditetapkan.
Sekiranya mana-mana keadaan tersebut berlaku, dagangan saham PEB akan digantung pada hari pasaran keenam selepas notifikasi penggantungan dikeluarkan.
Seterusnya, saham syarikat boleh dinyahsenarai tertakluk kepada pematuhan Perenggan 8.03(9) Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama.
Dalam situasi penyahsenaraian, PEB dikehendaki mengumumkan cadangan pengagihan semua wang dan kepentingan yang disimpan kepada pemegang saham secara pro-rata dalam tempoh dua bulan daripada tarikh notifikasi penyahsenaraian, serta melengkapkan pengagihan tersebut dalam tempoh enam bulan.
Bursa Securities turut memaklumkan bahawa PEB masih boleh mengemukakan rayuan untuk lanjutan masa tambahan atau terhadap penyahsenaraian dalam tempoh lima hari pasaran selepas notifikasi dikeluarkan.
Walau bagaimanapun, dagangan saham syarikat akan tetap digantung sementara menunggu keputusan rayuan tersebut.
Dalam menjelaskan keputusannya, Bursa Securities menyatakan bahawa PEB telah diberi masa yang mencukupi sejak pengumuman pertama pada 31 Mei 2018, iaitu lebih tujuh tahun, untuk menstruktur semula kedudukan kewangannya selaras dengan keperluan penyenaraian.
Menurut Bursa, keperluan regularisasi bagi syarikat tunai adalah penting bagi mengekalkan kualiti pasaran, integriti pasaran serta keyakinan pelabur. - DagangNews.com








