Phuah Shok Cheng dilantik sebagai CFO baharu AMMB Holdings | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Phuah Shok Cheng dilantik sebagai CFO baharu AMMB Holdings

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 25 Julai - AMMB Holdings Bhd mengumumkan pelantikan Phuah Shok Cheng sebagai ketua pegawai kewangan (CFO) baharu berkuat kuasa 1 Ogos ini.

 

Phuah, 48, menggantikan Shafiq Abdul Jabbar, 47, yang telah meninggalkan AMMB awal bulan ini untuk menyertai Malayan Banking Bhd.

 

Menurut AMMB dalam maklum di Bursa Malaysia, Phuah membawa lebih dua dekad pengalaman dalam bidang perbankan, pelaporan kewangan dan pengurusan modal, serta pernah memegang pelbagai jawatan kepimpinan kanan di institusi kewangan utama di Malaysia dan rantau ini.

 

Sebelum pelantikan terkininya, Phuah merupakan CFO serantau dan ketua strategi modal di RHB Bank Bhd.

 

Beliau juga pernah memangku jawatan CFO kumpulan RHB dari Januari 2024 hingga Julai 2024 sebelum Mohamed Rastam Shahrom mengambil alih.

 

Kerjaya beliau turut merangkumi peranan sebagai ketua kewangan korporat dan pengurusan modal di PT Bank International Indonesia, timbalan CFO di Maybank Kim Eng Securities di Singapura, serta ketua pelaporan kewangan untuk Kumpulan Maybank di Kuala Lumpur.

 

Saham AMMB ditutup naik satu sen atau 0.19% kepada RM5.16, sekali gus menilai kumpulan perbankan keenam terbesar negara dari segi aset itu pada RM17.1 bilion. - DagangNews.com