KUALA LUMPUR 28 Okt – PGF Capital Bhd (PGF) dijangka memasuki fasa pertumbuhan lebih kukuh pada tahun kewangan akan datang, disokong oleh pemulihan kapasiti pengeluaran, potensi pelancaran projek perumahan baharu serta limpahan ekonomi daripada pelaburan besar syarikat automotif China, BYD, di Tanjung Malim, kata TA Securities.
Firma penyelidikan itu berkata, bagi separuh pertama tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2026 (1HFY26), PGF mencatatkan keuntungan teras sebanyak RM14.7 juta, sejajar dengan jangkaan pasaran, mewakili 42% daripada unjuran setahun penuh firma penyelidikan.
Walaupun keuntungan merosot 9% tahun ke tahun (YoY) akibat tekanan margin dan kos pekerja lebih tinggi, pertumbuhan hasil kekal positif dengan peningkatan 3.7% kepada RM87.4 juta.
"Kami menjangkakan prospek PGF akan bertambah baik mulai FY27 berikutan pelaksanaan semula projek strategik dan peningkatan kapasiti operasi," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Menurut TA Securities, pembinaan kilang baharu PGF di Kulim East kini sedang giat dijalankan bagi menampung kelewatan sebulan, dengan jangkaan beroperasi sepenuhnya pada suku pertama FY27.
Kilang tersebut akan menggandakan kapasiti pengeluaran PGF kepada 65,000 metrik tan setahun daripada 30,000 metrik tan pada FY26, sekali gus mengukuhkan kedudukan syarikat sebagai pengeluar utama bahan penebat gentian kaca di rantau ini.
Menurut pengurusan, peningkatan kapasiti ini akan membolehkan PGF memenuhi permintaan tempatan dan antarabangsa yang semakin kukuh, khususnya dalam sektor pembinaan mampan serta tenaga hijau.
Walaupun kadar penggunaan kapasiti dijangka menurun kepada 62% susulan pengembangan tersebut, potensi pertumbuhan hasil dan margin dalam jangka sederhana kekal positif.
Katanya, penubuhan kilang BYD di Tanjung Malim dijangka memberi kesan limpahan ekonomi yang besar kepada kawasan sekitarnya, termasuk kepada PGF yang memiliki nilai pembangunan kasar (GDV) belum dibangunkan berjumlah RM3 bilion.
Peluang pekerjaan baharu dan peningkatan populasi dijangka meningkatkan permintaan terhadap kediaman berkualiti, yang secara langsung memberi kelebihan kepada PGF sebagai pemaju utama di kawasan tersebut.
"Walaupun isu bekalan air bagi projek perumahan PGF masih dalam peringkat penyelesaian, firma penyelidikan yakin pelancaran projek berkenaan dapat dilaksanakan pada FY27, dengan potensi kadar jualan mencecah 80%.
"Sebahagian keuntungan jualan tanah dianggarkan sebanyak RM9.7 juta dijangka diiktiraf pada FY27," katanya.
Sehubungan itu TA Securities, menaikkan unjuran pendapatan PGF bagi FY27 sebanyak 13%, berasaskan jangkaan pengiktirafan hasil jualan tanah dan peningkatan kapasiti kilang baharu.
Penilaian jumlah bahagian (SOP) juga dinaikkan kepada RM3.05 sesaham daripada RM2.99 sebelumnya, selepas pelarasan tahun asas kepada tahun kalendar 2027.
“Dengan asas kewangan yang kukuh, strategi pengembangan yang jelas dan kedudukan pasaran yang menguntungkan, kami mengekalkan saranan BELI ke atas saham PGF,” kata firma penyelidikan tersebut. - DagangNews.com








