PETRONAS pasang suar mudah alih kedua bakar sisa kebocoran paip gas Kerteh | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PETRONAS pasang suar mudah alih kedua bakar sisa kebocoran paip gas Kerteh

KUALA BERANG 21 Sept - Sebuah suar mudah alih kedua akan dipasang di kawasan PETRONAS Gas Berhad (PGB) Seksyen 5, tapak Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) berhampiran Kemaman bagi membakar semua sisa gas butana dalam paip yang bocor.

 

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, PETRONAS berjaya memasang suar mudah alih pertama sekitar jam 3.30 pagi untuk memulakan proses pembakaran gas.

 

Unit kedua dari Kulim, Kedah dijangka tiba petang ini dan akan segera dipasang bagi membolehkan semua baki gas dalam paip sepanjang 9.6 kilometer itu dibakar sepenuhnya sebelum kawasan tersebut diisytiharkan selamat.

 

“Kami jangka proses pembakaran, termasuk operasi penyahjangkitan dengan nitrogen, akan mengambil masa 48 jam bagi memastikan pembakaran berterusan berlaku sehingga semua baki gas dalam paip digunakan dan kerja-kerja pemulihan dapat dimulakan,” katanya selepas merasmikan penutup program jabatan di sini hari ini.

 

Beliau menambah, orang ramai tidak perlu bimbang kerana kebocoran gas tersebut tidak akan menyebabkan letupan yang boleh membahayakan penduduk berdekatan.

 

Menurutnya, penilaian mendapati peratusan gas butana di udara dalam radius 400m dari lokasi kebocoran hanyalah sekitar satu peratus, dan kemungkinan gas tersebut untuk terbakar serta meletup adalah sangat minimum.

 

“Kalau kita lihat bacaan, sebenarnya selamat untuk bekerja pada jarak 400m, namun kita kekalkan jarak selamat pada radius 500m untuk operasi bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini,” tambahnya. – Bernama