KUALA LUMPUR 7 Okt – Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) dijangka mengambil pendekatan lebih berhati-hati dalam perbelanjaan modal (capex) pada tahun-tahun akan datang, susulan pertikaian undang-undang yang berlarutan dengan Petroleum Sarawak Bhd (Petros) serta ketidaktentuan harga minyak global.
Firma penyelidikan CGS International berkata, peningkatan pengeluaran oleh OPEC+ turut memberi tekanan kepada harga minyak mentah dunia, sekali gus mempengaruhi perancangan perbelanjaan PETRONAS.
“Melihat kepada kedua-dua faktor ini kami menjangkakan PETRONAS akan terus berhemat dalam perbelanjaan capex dalam tahun-tahun mendatang," katanya dalam nota penyelidikan terkini.
Menurut CGS lagi, syarikat yang bergantung kepada kerja-kerja daripada syarikat minyak negara itu sudah mula berasa kesan ini.
"Maklum balas tidak rasmi daripada sebuah syarikat pelantar penggerudian tempatan menunjukkan bahawa mendapatkan kerja-kerja domestik kini lebih mencabar berbanding tahun 2022–2023,”* menurut laporan itu.
Walaupun satu pengisytiharan bersama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak telah diumumkan pada 21 Mei lepas, yang mengiktiraf Akta Pembangunan Petroleum (PDA) dan Ordinan Pengedaran Gas Sarawak (DGO) — CGS International berpandangan langkah tersebut masih belum mencukupi untuk meredakan perbalahan antara kedua-dua entiti.
“Memandangkan PETRONAS dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan, tidak mustahil tindakan undang-undang terhadap Petros yang difailkan minggu lalu di Mahkamah Tinggi Kuching telah mendapat restu Perdana Menteri,” tambah CGS.
Firma itu menjangkakan kes ini mungkin akan dibawa sehingga ke Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, memandangkan implikasi ekonomi dan perundangan yang besar terlibat.
CGS menambah dari sudut perundangan, undang-undang persekutuan lebih tinggi kedudukannya berbanding undang-undang negeri, seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia.
Namun begitu, landskap politik yang dinamik ketika ini boleh mendorong usaha Sarawak untuk menjadi pengagregator tunggal gas di negeri itu diterima secara politik, sekali gus membuka ruang kepada Petros mencapai matlamatnya.
Meskipun cabaran ini berpotensi memberi kesan kepada aktiviti domestik, CGS International mengekalkan saranan 'Overweight' ke atas sektor perkhidmatan minyak & gas, berdasarkan penilaian ke atas saham-saham individu.
“Panggilan saham kami pada peringkat mikro (bottom-up) kekal positif kerana banyak faktor khusus syarikat menyokong unjuran pertumbuhan,” jelas laporan itu.
Firma itu turut memberi amaran bahawa risiko penurunan sektor termasuk kelembapan tidak dijangka dalam permintaan minyak mentah global, dan tekanan ke atas harga minyak sekiranya ekonomi global terjejas akibat tarif perdagangan Amerika Syarikat. - DagangNews.com








