PETRONAS anugerah PSC bagi Kluster Permata di perairan Sabah kepada firma British, Bridge Petroleum | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PETRONAS anugerah PSC bagi Kluster Permata di perairan Sabah kepada firma British, Bridge Petroleum

Majlis penyampaian anugerah PSC kepada Bridge Petroleum di Kuala Lumpur pada 9 Februari 2026. - Gambar Petronas
Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 10 Feb - Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) menerusi Malaysia Petroleum Management (MPM) menganugerahkan kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) bagi Kluster Permata, yang terletak di perairan luar pantai Sabah, kepada Bridge Petroleum Ltd yang berpangkalan di London.

 

Dalam kenyataan pada Isnin, PETRONAS berkata penganugerahan itu menandakan kejayaan penutup tiga kluster Peluang Sumber Ditemui (Discovered Resource Opportunities, DRO) serta kemajuan satu lagi blok penerokaan yang ditawarkan di bawah Pusingan Bidaan Malaysia 2025 (Malaysia Bid Round 2025, MBR 2025) yang dilancarkan awal tahun lalu.

 

Syarikat minyak nasional itu berkata penganugerahan berkenaan merupakan isyarat jelas keyakinan pelabur yang berterusan terhadap potensi huluan Sabah.

 

Kerjasama dengan kerajaan negeri Sabah turut ditegaskan menerusi majlis pertukaran dokumen di Kuala Lumpur, yang disaksikan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz.

 

Kluster Permata, yang merangkumi medan South East Collins, Lokan, Axinit, Realgar dan Manikam, dianugerahkan di bawah PSC Aset Medan Kecil (Small Field Asset, SFA) kepada Bridge Petroleum, sekali gus menandakan kemasukan pertama syarikat itu ke Malaysia sebagai pengendali tunggal.

 

“Meliputi kawasan dengan penemuan minyak dan gas sedia ada, Kluster Permata dijangka membuka potensi kira-kira 10 juta tong setara minyak (MMboe) sumber yang belum dimanfaatkan.

 

“Bridge Petroleum merancang untuk melaksanakan penyelesaian sambungan bawah laut (subsea tie-back) ke kemudahan berhampiran, dengan pengeluaran komersial pertama disasarkan seawal 2029,” katanya.

 

PETRONAS berkata projek itu dijangka menjana limpahan ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran serta menyokong penyedia perkhidmatan tempatan sepanjang kitaran hayatnya.

 

Hajiji berkata inisiatif berkenaan mencerminkan strategi jangka panjang kerajaan negeri untuk memperkukuh sektor tenaga Sabah menerusi pelaburan berkualiti tinggi dan kerjasama erat dengan PETRONAS.

 

“Dengan peluang yang kini berkembang di seluruh negeri dari pantai barat hingga pantai timur, kami mengalu-alukan pelabur bereputasi untuk bekerjasama bagi memastikan manfaat yang mampan dan berkekalan kepada rakyat Sabah,” katanya.

 

Tengku Muhammad Taufik pula berkata pencapaian berkenaan mencerminkan komitmen berterusan PETRONAS dalam membuka potensi tenaga Malaysia melalui perkongsian kolaboratif.

 

“Pembangunan ini menyumbang kepada pertumbuhan serantau, khususnya di Sabah, dengan mewujudkan peluang penyertaan merentasi ekosistem tenaga tempatan,” katanya.

 

Melengkapkan penganugerahan PSC itu, PETRONAS dan Sabah Energy Corporation Sdn Bhd (SEC) turut bertukar-tukar kepala perjanjian (HoA) bagi keselamatan pasaran gas Kluster Mutiara, sekali gus mengukuhkan lagi kerjasama antara PETRONAS dan kerajaan negeri Sabah.

 

HoA tersebut menggariskan prinsip utama ke arah perjanjian jualan gas pada masa hadapan bagi menyokong pembangunan Kluster Mutiara menjelang suku pertama 2029.

 

Dianugerahkan di bawah PSC SFA kepada Dialog Resources Sdn Bhd pada Jun 2025, PETRONAS berkata Kluster Mutiara dibayangkan sebagai pembangunan huluan perintis di pantai timur Sabah.

 

“Ia dijangka menjadi pemangkin kepada pengewangan gas dan minyak pada masa hadapan di koridor timur, merangsang aktiviti ekonomi serta mengukuhkan peranan Sabah sebagai kawasan pertumbuhan tenaga utama,” katanya.

 

PETRONAS menambah, kerjasama kukuh itu turut diperkasakan menerusi pasukan petugas bersama melibatkan PETRONAS dan agensi negeri Sabah, yang bertujuan mempercepatkan pembangunan huluan dan hiliran di sepanjang pantai timur Sabah. - DagangNews.com